Tuesday, July 17, 2012

IDEOLOGI MODEN - Serangan Pemikiran!!

Serangan pemikiran tu memang dahsyat dan kesannya amatlah banyak dan mampu merosakkan, menghancurkan umat manusia...

Pengenalan

Faktor kemajuan teknologi maklumat dan kemajuan teknologi lain dalam pelbagai bidang telah merubah imej dunia. Imej umat Islam adalah lebih merupakan peristiwa, tindakan, tingkahlaku dan cara hidup masyarakat Islam di mana sahaja mereka berada dan cara pentadbiran kerajaan yang ditadbir oleh orang Islam. Semua ini telah diberikan tafsiran dan label oleh media barat. Media barat sering mengaitkan sesuatu yang negatif, agresif, kekerasan, kekejaman, keganasan, kemunduran dan kemiskinan. Bahkan Malaysia juga pernah dikaitkan sebagai negara yang menyokong keganasan. Media barat suka melakukan perkara yang tiada asas kebenaran yang boleh menimbulkan emosi pihak yang menjadi sasarannya.
Sejak zaman era Perang Salib lagi umat Islam telah menjadi tumpuan pihak barat untuk menjajah serta menguasai umat Islam dalam pelbagai aspek seperti agama, politik, ekonomi, dan sosial. Seperti yang telah berlaku pada zaman Nabi Muhammad S.a.w. mereka menjajah Islam melalui cara peperangan dengan cuba menentang umat Islam habis-habisan. Berbeza dengan zaman moden kini, umat Islam tanpa disedari telah diancam oleh pihak barat melalui cara yang halus. Melalui kemodenan yang ada pada abad ini, mereka cuba untuk merealisasikan impian mereka iaitu menjajah serta menguasai umat Islam sepenuhnya. Ekoran daripada itu, munculnya ideologi-ideologi baru yang telah diperkenalkan oleh pihak barat bertujuan untuk meracuni pemikiran umat Islam. Hal ini adalah rentetan daripada peristiwa Perang Salib yang mana pada akhirnya tentera Islam dapat menewaskan tentera Salib. Mereka mendapat jalan penyelesaian untuk terus menguasai umat Islam iaitu melalui pemikiran serta psikologi umat Islam. Antara ideologi-ideologi yang telah menular masuk ke dalam pemikiran masyarakat Islam kini adalah seperti sekularisme, liberalisme, sosialisme dan hedonisme. Demi menjaga masa hadapan Islam, masyarakat perlu untuk menangkis segala ideologi barat yang telah diserap masuk ke dalam pemikiran umat Islam. Ini adalah kerana asas kepada pembangunan tamadun manusia yang hakiki adalah bermula daripada cara hidup yang dianjurkan oleh Islam dan hanya Islam yang mampu untuk memakmurkan dunia ini dengan sebaik-baiknya.      

Kemunculan Ekstremis

            Ekstremis merujuk kepada golongan-golongan pelampau agama yang datang untuk mengkucar kacirkan masyarakat Islam. Golongan ekstremis ini mempunyai pelbagai nama, dikuasai dan bernaung di bawah perancangan yang diaturkan di peringkat antarabangsa yang berpusat di negara-negara maju. Gerakan ektremis ini sebenarnya adalah salah satu perancangan penjajah. Mereka mempunyai pelbagai cara untuk melemahkan dan menghancurkan Islam dengan cara mengelirukan akidah umat Islam dengan menggunakan ulama palsu. Golongan ini disokong oleh kuasa-kuasa asing. Setiap aktiviti gerakan ini bersesuaian dengan kehendak kuasa asing yang berkeyakinan bahawa golongan ini dapat memainkan peranan mereka yang menggantikan penjajahan ketenteraan mereka ke atas negara-negara Islam.Jelas sekali, kuasa-kuasa asing sedia membantu golongan ini serta memberikan segala bentuk sumbangan untuk memenuhi hasrat dan muslihat mereka untuk jangka masa panjang. 

            Allah s.w.t. mengingatkan kita agar bersederhana dan menjauhi sikap ektrem (melampau). Sebagaimana dalam firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 143 :
y7Ï9ºxx.ur öNä3»oYù=yèy_ Zp¨Bé& $VÜyur 
Maksudnya : “Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu (Umat Islam), umat yang adil.”

Islam Alaf Baru
Pada zaman ini, kita dapat menyaksikan perkara-perkara yang tidak dapat disaksikan oleh generasi sahabat Nabi dahulu. Generasi sahabat hanya berpandukan perkhabaran dari Rasulullah s.a.w. Mereka beriman dengan risalah Islam dan sanggup berhadapan dengan pelbagai cabaran sama ada dalaman ataupun luaran. Allah s.w.t. telah menzahirkan agama Islam ini ke atas agama-agama yang lain, bermula dari tanah Mekah, bumi yang kering kontang sehinggalah menjalar ke benua-benua yang lain. Perkembangan ini berlaku dalam jangka masa beberapa kurun semenjak zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah zaman khilafah-khilafah Islam kemudiannya dengan munculnya satu tamadun yang istimewa. Tamadun ini dibina dengan syakhsiah insan secara ruhi iaitu ilmu yang berdasarkan kepada iman dan pembangunan jasmani atau material yang mengikut perkiraan kepentingan dan kesempurnaan hidup untuk sampai kepada matlamat yang diimpikan di dunia ini untuk mengabdikan diri kepada Allah serta menunaikan tanggungjawab khilafah dan amanah. Firman Allah s.w.t. :

$tBur àMø)n=yz £`Ågø:$# }§RM}$#ur žwÎ) Èbrßç7÷èuÏ9 ÇÎÏÈ  
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Namun begitu, risalah Islam yang disampaikan oleh Nabi dan para sahabat tidak difahami dan ditentang oleh golongan intelektual dan orientalis yang merupakan mangsa serangan pemikiran barat. Mereka yang menyeru kepada fahaman-fahaman barat inilah yang meletakkan umat Islam dalam keadaan terhina dan mundur.

                Disebabkan itu, muncullah satu fahaman baru iaitu neo-kolonialisme yang agak asing dari Islam. Sebagai contoh istilah globalisasi yang mana bermula apabila Amerika Syarikat mendakwa negara mereka sebagai sebuah negara besar tunggal dunia dan seluruh negara dunia harus berdiri satu barisan di belakangnya untuk menguasai dunia lain terutamanya dunia Islam. Penguasaan Amerika Syarikat dalam bidang teknologi moden digunakan sepenuhnya untuk menguasai dunia sama ada dari sudut politik, ketenteraan, ekonomi, kebudayaan, dan kemasyarakatan

Aspek-aspek Penjajahan Barat

            Aspek budaya dan pemikiran dan segala yang berhubungkait dengannya sama ada pendidikan, pengajian dan media adalah merupakan alat-alat serangan yang penting untuk menghapuskan kekuatan jihad serta penentangan terhadap musuh barat yang datang membawa syiar globalisasi dan pemodenan. Langkah-langkah yang telah mereka ambil ialah dengan menyelewengkan tasawwur Islam serta mencipta beberapa slogan yang membawa panji-panji Islam tetapi sebenarnya tidak menepati cirri-ciri yang sebenar seperti aspek jihad yang merupakan kemuncak amal ibadat dalam Islam yang cuba dihapuskan. Mereka juga turut menentang dengan pelbagai perkara negatif dan memulaukan negara yang ingin melaksanakan Islam dari pelbagai sudut seperti:

1 ) Penjajahan Ekonomi
Bagi masyarakat yang ekonominya hanya bergantung kepada bantuan negara maju, mereka cuba untuk melepaskan diri daripada pergantungan bantuan luar. Mereka tidak dapat menggambarkan diri mereka sebagai sebuah masyarakat yang kaya, dan bebas ekonominya. Alternatif masa hadapan hanya dapat dicapai jika sekiranya langkah-langkah pragmatik ke arah alternatif tersebut diambil pada masa kini. Kita perlu mempunyai pengetahuan tentang beberapa pilihan lain yang ada sebelum masa hadapan tiba. Dengan pengetahuan yang kita ada tentang masa hadapan, kita akan dapat mengatur langkah yang wajar untuk merealisasikan segala impian. Setiap negara Islam tidak boleh lari daripada pergantungan negara luar. Sebagai contoh, inflasi yang berlarutan, kekurangan dan kenaikan harga bahan mentah yang diimport serta keruntuhan sosial yang dibawa oleh teknologi.

2)  Penjajahan Minda dan Agama
Generasi sekarang berfikir dan menyelesaikan masalah dengan cara tradisi intelektual barat. Cara berfikir yang semata-mata mengikut istilah “sebab-akibat” kini tidak lagi mencukupi dalam situasi kini. Contohnya, sekularisme yang dibawa oleh barat yang merupakan satu jalan untuk melemahkan umat Islam dan seterusnya mengenepikan aspek keagamaan. Selain itu, istilah liberalisme juga mempunyai tujuan yang sama diperkenalkan iaitu untuk mencampur adukkan antara akal dan agama.

3) Penjajahan Politik
Penjajahan politik juga merupakan salah satu cara daripada penguasaan kuasa terhadap masyarakat Islam.  Liberalisme politik adalah aliran di mana seseorang itu berasaskan undang-undang dan masyarakat. Masyarakat dan institusi-institusi kerajaan yang wujud di dalam masyarakat berfungsi untuk memperjuangkan hak-hak peribadi tanpa memilih kasih kepada sesiapa yang mempunyai taraf sosial yang tinggi. Liberalisme politik menekankan perjanjian sosial yang mana rakyat merangka undang-undang dan bersetuju untuk mematuhi undang-undang tersebut. Ini adalah berdasarkan pemikiran di mana seseorang itu lebih mengetahui apa yang terbaik untuk dirinya. Liberalisme politik mengandungi semua lapisan masyarakat tanpa mengira jantina, kaum atau taraf ekonomi. Liberalisme politik juga menekankan kedaulatan undang-undang dan demokrasi liberal. Liberalisme mula mengalami perubahan mendadak dengan membentuk pendapat yang menyatakan bahawa manusia bebas boleh membentuk asas masyarakat yang stabil.

4) Penjajahan Sosial
            Seperti yang kita dapat lihat sekarang, pelbagai unsur kemodenan telah pun di aplikasikan di dalam kehidupan masyarakat. Sebagai contoh, industri hiburan kini telah mempamerkan budaya-budaya barat yang tidak sewajarnya dipamerkan. Dalam aspek bahasa pula, Bahasa Inggeris dilihat sebagai satu bahasa global yang telah menghimpit bahasa-bahasa minoriti di seluruh dunia ke ambang kepupusan. Selain itu, aspek pendidikan tidak lagi mementingkan ilmu bahkan di komersialkan untuk mencari nafkah. Kreativiti dan kebebasan pemikiran kritis dalam dunia pendidikan semakin tergugat berikutan pengenalan birokrasi melalui sistem piawaian.

Hujah untuk Menolak Ideologi-ideologi Barat dan Cara Penyelesaiannya

            Akal fikiran merupakan satu unsur yang penting bagi manusia. Peranan akal yang telah dianugerahkan ini sangatlah besar. Akal bukan sahaja digunakan untuk kepentingan mencari ilmu tetapi untuk melihat kebenaran. Islam sangat menggalakkan umatnya untuk menggunakan akal demi untuk mencari kebenaran. Di dalam Al-Quran banyak ayat-ayat yang diakhiri dengan bentuk-bentuk pertanyaan Allah kepada manusia seperti, “Tidakkah kamu menggunakan akal” dan “Tidakkah kamu memikirkan”. Sebenarnya di dalam Al-Quran itu sendiri terkandung ilmu sains dan teknologi yang hanya menunggu untuk dikaji dan dikembangkan oleh mereka yang memahami dan mengamalkannya. Sekiranya diteliti, Al-Quran itu adalah sumber ilmu pengetahuan dan sumber yang terpenting.  Jika tidak, mutiara Al-Quran itu tidak akan menyerlah dan memancarkan cahayanya untuk menyinari kehidupan manusia. Sebagai umat Islam yang bijak, tidak seharusnya agama itu dilihat hanya sebagai ibadat sahaja, tetapi ia perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas dan menyeluruh. Hubungan manusia bukan hanya terhad dengan Allah sahaja, tetapi juga dengan manusia lain dan alam disekelilingnya.

            Justeru itu, kita wajib percaya kepada Allah dan keimanan sahaja yang akan menjanjikan kebangkitan Islam. Ini adalah kerana qada dan qadar kita telah pun ditetapkan oleh Allah s.w.t. Kita sepatutnya memberi perhatian untuk mengerjakan solat yang khusyuk, berpuasa dan mengeluarkan zakat demi menjamin keselamatan hidup kita pada hari akhirat. Sebagai contoh, kehidupan nabi Muhammad s.a.w adalah satu tindakan yang berorientasikan masa hadapan. Penghijrahan dari Makkah ke Madinah adalah berdasarkan jangkaan bahawa ia akan membawa masa hadapan yang lebih cemerlang bagi umat Islam yang sedikit pada waktu itu, ianya dirancang terlebih dahulu dan perjalanan penghijrahan itu dikenal pasti dengan sistematik. Apabila nabi s.a.w menjangka bahawa kaum Quraisy akan menentang, baginda telah menandatangani Perjanjian Hudaibiah walaupun ditentang oleh para sahabat kerana baginda telah menyangkakan manfaatnya pada masa hadapan. Beberapa bulan sebelum berlaku peperangan, baginda telah menjangkakan konflik akan berlaku lalu baginda menggali parit di sekeliling kota Madinah untuk mempertahankannya. Setelah itu, nabi s.a.w telah memaafkan musuh-musuh baginda dengan keyakinan bahawa tindakannya itu akan mewujudkan pemimpin umat Islam masa hadapan. Oleh itu, dasar Islam adalah berdasarkan cara berfikir dan cara yang berorientasikan masa hadapan.

            Antara langkah–langkah yang dapat disalurkan pada negara Islam agar bebas dari pemikiran penjajah adalah dengan membebaskan diri kita daripada pemikiran sekular agar kita dapat kembali kepada agama yang sempurna, begitu juga akidah yang bebas dari syirik sama ada dalam perkara ibadah, syariah dan akhlak. Selain daripada itu, negara-negara Islam mestilah bekerjasama dengan mengambil sepenuhya faedah dan peluang yang kita dapat untuk kegunaan negara dan juga umat. Negara Islam dikurniakan dengan hasil semulajadinya dari muka bumi yang subur dengan hasil pertanian dan galian yang berharga mampu untuk menampung keperluan semasa. Apa yang penting, kita gunakannya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negara-negara Islam itu sendiri dan memupuk semangat persaudaraan Islam di kalangan mereka dan menjadi kewajipan dakwah manusia itu sendiri mengajak mereka kepada agama Islam dalam semua keadaan dan tempat untuk menegakkan Islam supaya ianya mengatasi agama-agama-lain.

Istilah-istilah Ideologi-ideologi Barat

Antara istilah-istilah yang di perkenalkan oleh barat adalah seperti :
1. Sekularisme – Merujuk kepada peraturan yang terdiri daripada dasar dan perlaksanaan-perlaksanaan yang mengenepikan setiap bentuk keimanan agama.
2. Liberalisme – Merujuk kepada falsafah yang meletakkan kebebasan individu sebagai nilai politik tertinggi. Liberalisme menekankan hak-hak peribadi serta kesamarataan peluang.
3. Sosialisme – Merupakan teori atau sistem organisasi sosial dan ekonomi di mana salah satu ciri utamanya adalah sumber kekayaan negara dinikmati bersama oleh seluruh rakyat secara sama rata.
4. Modenisme – Merujuk kepada kepercayaan yang melebihkan aspek keduniaan berbanding dengan aspek ketuhanan.

Penutup
            Untuk akhirnya, disini dapat disimpulkan bahawa masyarakat barat sememangnya tidak akan berpuas hati serta berdiam diri selagi mana masyarakat Islam tidak jatuh ke tangan mereka. Hal ini tidaklah memfokuskan kepada sesetengah aspek sahaja, bahkan mereka ingin menguasai masyarakat Islam secara menyeluruh sama ada dari aspek pemikiran, sosiopolitik dan ekonomi. Mereka tidak hanya menumpukan sasaran mereka kepada golongan-golongan yang kurang berpengatahuan, akan tetapi menjadikan sebahagian daripada golongan cendikiawan Islam sebagai penyumbang dalam menyampaikan aliran-aliran mereka. Islam mengajar penganutnya supaya mengimbangi kehidupan di dunia dan di akhirat dengan sewajarnya. Di samping menganjurkan umatnya supaya memperbanyakkan amal sebagai bekalan di akhirat, Islam juga tidak melarang umatnya mencari kesejahteraan hidup di dunia. Cuma kaedah-kaedah yang disarankan oleh Islam yang membezakannya daripada sistem-sistem ciptaan manusia yang lain. Sistem Islam itu adalah adil untuk semua sama ada untuk orang Islam ataupun bukan Islam. Oleh itu, untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini ialah dengan merealisasikan kaedah-kaedah tersebut sama ada di peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara.   

Sebagai tambahan: Kesan penjajahan pemikiran

  1. Merosakkan akhlak umat Islam. Menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan perkara yang dihalalkan oleh Allah. Contoh : Bermuamalat dengan riba, zina, meminum arak dan sebagainya. 
  2. Menjauhkan ulamak dari memimpin masyarakat dan teraju politik. Tidak mencebur diri dalam masalah politik dan sosial. Tidak mampu untuk membimbing umat dalam bidang politik. 
  3. Berlakunya krisis identiti di kalangan remaja. Remaja menjadi bingung dan kabur tentang tugas dan peranan. Akibatnya: berlakulah percampuran identiti dimana lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya. 
  4. Umat Islam menjadi kabur dan buta. Untuk membezakan kebaikan dan kemungkaran kerana mengejar kemewahan hidup.


  • Masa depan yang akan dihadapi oleh umat Islam di dunia ini adalah terletak di atas bahu negara-negara Islam itu sendiri.
  • Manusia tidak boleh bergantung kepada akal fikiran semata-mata tanpa panduan daripada wahyu Allah.
  • Masa sekarang sebagai penentu masa hadapan.

Rujukan

  1. Dr. Muhammad Al-Bahi(1986), Penentangan Islam Terhadap Aliran Pemikiran Perosak, Kuala Lumpur : Penerbitan Hizbi.
  2. Haji Abdul Hadi Awang(t.t), Globalisasi – Pendirian Islam Mengenainya, Kuala Terengganu : Unit Penerbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu.
  3. Khairul Azhar Idris(1996), Kontemporari Islam, Kuala Lumpur : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
  4. Lim Kim Hui, Har Wai Mun(2007), Globalisasi, Media dan Budaya-Antara Hegemoni Barat Dengan Kebangkitan Asia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
  5. Mohd Siden Ahmad Ishak(1990), Masa Hadapan Islam-Bentuk Idea yang Akan Datang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
  6. Mohd Yuswandi Abd. Majid, Siti Suhafzan SH Ibrahim(2007), Islam Dalam Era Globalisasi, Kuala Lumpur : Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Note: Artikel ini adalah hasil penulisan (tugasan) saya ketika mengambil kursus Ideologi-ideologi Moden dalam menyempurnakan ijazah pertama saya. 



No comments:

Post a Comment