Monday, July 23, 2012

Ilmu, Akal adalah tunjang Ibadah

Perlaksanaan rukun Islam tidak akan terlaksana tanpa ilmu dan akal. Islam sangat menjaga akal kerana tanpanya manusia akan menjadi sehina binatang. Demi menjaga akal Islam mengharamkan segala yang merosakkan seperti arak dan dadah.

Betapa serius aspek penjagaan akal sehingga mereka yang melanggar larangan ini seperti minum arak akan dihukum dengan sebatan 40 rotan ataupun lebih. Antara golongan yang dipuji dalam al-Quran ialah mereka yang berakal, diberi gelaran dengan nama ‘ulul-albab’ berdasarkan firman Allah dalam surah Ali-Imran (190) yang bermaksud: “Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi dan bergantinya siang dan malam menjadi tanda kebesaran Allah bagi ulul-albab.”

Menurut Syed Hawa, ulul albab bererti orang yang menggunakan akal. Dengan melaksanakan rukun Islam yang lima, ia mendidik umat mengenai kepentingan akal dan ilmu seperti pada awal Islam dilarang bersolat dalam keadaan mabuk kerana ia mengganggu pemikiran manakala suatu ibadah tidak sah jika dilakukan tanpa ilmu. Maknanya seseorang yang ingin melakukan solat mesti ada ilmu dan tahu membezakan antara fardu dan sunat .

Sekiranya tidak tahu sah dan batal, rukun dan syarat serta cara melakukannya solat dianggap tidak sah. Demikian juga dalam ibadah puasa, perkara yang membatalkan puasa wajib diketahui. Begitu juga dalam konteks zakat, ilmu mengenai nisab dan peratus harta yang wajib dikeluarkan mesti diketahui.


Ketika melaksanakan solat berjemaah, imam yang memimpin solat dari kalangan yang berilmu. Sebagai manusia kadangkala imam terlupa sesuatu dalam solat. Islam mengarahkan makmum di belakang menegur dan mengikut susunan saf yang berada di belakang imam, juga mesti berilmu. Nabi bersabda (maksudnya) “Hendaklah mereka yang baligh lagi pandai bersolat dekat denganku.” Kalau imam batal, pengganti imam yang berilmu tadi akan mengambil tempat bukannya si jahil.”

Melalui ibadah yang dilakukan umat Islam mendidik peri pentingnya akal dan ilmu dalam kehidupan. Sesuai dengan sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik agama kamu ialah yang mudah dan sebaik-baik ibadah ialah kefahaman agama.” 

Seorang penulis barat mengatakan empayar Islam boleh bertahan lama kerana dia dibina berasaskan ilmu dan akal. Dalam kitab Ihya ada menyebutkan: “Seseorang yang tidak makan dan minum dalam masa yang lama akan mati, demikian juga dengan hati, apabila tidak diberi ilmu dan hikmah dalam masa tiga hari ia akan mati.”

Ilmu ialah kuasa, dengan kuasa inilah Islam menguasai dunia dan mewarisinya kepada generasi demi generasi. 


Sumber: Tazkirah -Ustaz Mohd Zawawi Yusoh-

No comments:

Post a Comment