Saturday, July 21, 2012

“Hakikat Kerohanian yang Dinisbahkan kepada Saidina Ali”

Riwayat Hidup
Nama penuh beliau adalah Ali Bin Abi Talib Bin Abdul Mutalib. Beliau adalah berketurunan Bani Hasyim dan merupakan salah seorang sepupu Rasulullah s.a.w. Beliau dilahirkan di dalam ka’abah di Mekah pada tahun 601 Masihi iaitu 10 tahun sebelum Rasulullah s.a.w. diutuskan menjadi Rasul. Sejak kecil lagi beliau diasuh dan dididik oleh Rasulullah s.a.w. Beliau berkahwin dengan puteri Rasulullah s.a.w, iaitu Saidatina Fatimah. Beliau hampir dibunuh oleh pemuda kafir Quraisy ketika peristiwa hijrah kerana tidur di katil Rasulullah s.a.w. Beliau mendapat gelaran “karamallahu wajhah” iaitu yang bermaksud orang yang wajahnya dimuliakan Allah, kerana tidak pernah menyembah berhala semenjak beliau dilahirkan. Beliau dilantik menjadi khalifah Islam yang keempat selepas Saidina Uthman pada tahun 35 Hijrah bersamaan 655 Masihi. Beliau sempat memerintah selama empat tahun. Beliau wafat di Kufah pada 17 Ramadhan tahun 41 Hijrah bersamaaan 661 Masihi kerana dibunuh oleh Abdul Rahman Bin Muljam.

Keistimewaan Saidina Ali r.a
  1. Keluarga Rasulullah s.a.w
Mempunyai hubungan rapat dengan baginda iaitu merupakan sepupu dan menantu Rasulullah s.a.w. Sejak kecil beliau tinggal bersama dan dididik oleh Rasulullah s.a.w, kerana itulah beliau banyak mewarisi keperibadian dan akhlak Rasulullah. Beliau amat cinta kepada Rasulullah s.a.w . Ini dapat dibuktikan dengan beliau sentiasa disisi Rasulullah s.a.w sewaktu susah dan senang, semasa perang dan damai serta semasa Rasulullah s.a.w sakit hingga akhir hayat.

  1. Kanak-kanak Pertama yang Memeluk Islam
Beliau merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam ketika berusia 10 tahun. Beliau sangat mentaati Rasulullah s.a.w dan tidak pernah membantahnya. Beliau merupakan salah seorang dari sahabat yang dijamin syurga.

  1. Cendikiawan Ulung
Beliau terkenal dengan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang seperti sastera, ilmu Hisab dan kehakiman sehingga beliau digelar “Gedung Ilmu” oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w melantiknya sebagai jurutulis wahyu dan perjanjian Hudaibiyah.

  1. Pemuda yang berani               
Beliau sanggup tidur di tempat tidur Rasulullah s.a.w pada malam hijrah. Menyertai hampir kesemua peperangan kecuali perang Tabuk dan berada dibarisan hadapan bersama pedangnya 'zul faqar'. Beliau juga menyahut cabaran satu lawan satu dengan pahlawan Quraisy dlm perang Khandak.          

  1. Pemerintah yang adil dan kreatif
Beliau dilantik oleh Rasulullah s.a.w sebagai hakim di Yaman. Kreativiti beliau dalam pentadbiran atau pemerintahannya antaranya:
·         Menubuhkan pasukan polis yang diberi nama "as-Syurtah ".
·         Beliau melengkapkan angkatan berkuda Islam.
·         Menubuhkan pasukan tentera berjalan kaki.
·         Menubuhkan badan perisik.

Saidina Ali bukan sahaja seorang sahabat Rasullullah s.a.w serta yang paling dicintai oleh baginda bahkan beliau juga seorang manusia luarbiasa yang memiliki ilmu bagaikan lautan. Kefasihannya yang tiada bandingan sebagai seorang ahli sastera dan pemidato yang masyhur. Beliau seorang pahlawan yang tiada siapa dapat menafikan yang mana beliau merupakan di antara barisan pahlawan-pahlawan terbilang.


Kehidupan Kerohanian Saidina Ali r.a
Beliau telah diberi nama Rabbani Ummah kerana beliau sejak kecil hingga dewasa tidak kafir dan syirik malah beliau tidak melakukan amalan jahiliyyah bahkan beliau hanya mengetahui kebaikan sahaja. Beliau merupakan seorang yang faqih dan ahli ibadah serta mengumpulkan al-Quran. Bukti yang mengatakan beliau sedemikian ialah apabila Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar bergantung kepada beliau dalam memutuskan fatwa dan hukum yang penting yang tidak pernah dibincangkan sebelum ini. Beliau berada di tempat pertama dalam kedudukan kesufian syeikh-syeikh yang mulia. Beliau juga merupakan ketua sesebuah kaum yang cinta kepada Allah daripada pandangan mata hati, kecintaan kepada ibadah, cahaya ketaatan, wali yang bertaqwa serta pemimpin yang adil.
Kata-kata Saidina Ali dan pengajarannya dalam ilmu pengetahuan melibatkan dua keadaan yang penting iaitu secara zahir dan secara batin. Rasulullah bersadba: “Aku adalah Rumah Kebijaksanaan dan Ali adalah pintunya.” Diibaratkan yang demikian itu kepada kata-kata Abdullah Bin Mas’ud: “Sesungguhnya al-Quran itu diturunkan di atas tujuh huruf, dan tiada daripadanya huruf kecuali apa yang zahir dan batin, dan sesungguhnya Ali Bin Abi Talib padanya ada ilmu zahir dan batin.” Diibaratkan kepada kata-kata Ali pada sifat kezuhudan yang menyerupai Nabi Isa a.s, hadis Rasulullah s.a.w : “Barangsiapa yang zuhud di dunia: ilmunya kerana Allah ta’ala tanpa ilmu, membimbingnya tanpa bimbingan, melihat dan membuka kebutaan.” Untuk mencapai apa yang dikatakan oleh kebanyakan ahli sufi sesungguhnya Allah memberikan Saidina Ali ilmu laduni iaitu yang terletak pada hati tanpa perantaraan. Abu Qassim al-Junaid berkata: “Allah s.w.t memberkati Saidina Ali, beliau bukan menyibukkan diri untuk berperang tetapi banyak makna pada ilmunya iaitu ilmu laduni. Ilmu laduni merupakan ilmu yang mengkhususkan kepada kemajuan.
Seperti mana yang telah dibincangkan sebelum ini, Saidina Ali dikhususkan oleh kebanyakan sahabat Rasulullah s.a.w dengan sifat-sifat yang baik, kata-kata yang manis, kata-kata dan kenyataan tauhid, pengetahuan dan iman, yang dikaitkan dengan akhlak ahli sufi.
Telah bertanya seorang lelaki kepada Saidina Ali berkenaan iman. Maka Saidina Ali menjawab: “Iman itu atas empat perkara: sabar, yakin, adil dan jihad. Kemudian disifatkan sabar itu kepada sepuluh maqamat. Begitu juga dengan sifat-sifat yang selebihnya (yakin, adil dan jihad) yang disifatkan kesemuanya kepada sepuluh maqamat.”
Menurut Saidina Ali r.a, kebaikan itu terkumpul pada empat perkara: diam, percakapan, pandangan dan pergerakan. Setiap percakapan itu bukan kerana mengingati Allah adalah melalaikan, setiap perbuatan diam bukan digunakan untuk berfikir maka ia merupakan satu kelalaian, setiap pandangan itu jika bukan untuk memberi pengajaran maka ia juga satu kelalaian, dan setiap pergerakan itu bukan untuk beribadah ia merupakan tempoh Allah mengasihi hamba-hamba-Nya. Maka percakapan itu untuk mengingati, diam itu untuk berfikir, pandangan itu merupakan pengajaran, pergerakan itu adalah pengabdian kepada Allah s.w.t dan terselamatlah manusia daripada lisan dan tangannya.
Sahabat telah meriwayatkan tentang Saidina Ali r.a yang menyatakan bahawa beliau adalah seorang yang patuh. Disifatkan kepadanya sebagai seorang yang bertaqwa ataupun mempunyai sifat kezuhudan dan kesufian. Sahabat berkata orang yang bertaqwa: Mereka orang yang mempunyai kelebihan, percakapan mereka benar, pakaian mereka sederhana, kehidupan yang tawadu’, memelihara pandangan mereka daripada apa yang telah diharamkan Allah, mendengar ilmu yang bermanfaat, diturunkan kepadanya ujian tetapi baginya seperti satu kemakmuran, sekalipun apa yang telah ditetapkan Allah kepada mereka tetapi mereka masih merindukan pahala kepada Allah dan takutkan azab-Nya.

Wasiat Saidina Ali bin Abi Talib
Ketika Ali bin Abi Talib ditikam oleh pembunuhnya, beliau berkata: “bagaimanakah keadaan orang yang menikamku itu?” Orang yang hadir menjawabnya: “Sesungguhnya kami sudah menahannya.” Ali kembali berkata: “berilah dia makan dari makananku dan berilah dia minum dari minumanku. Jika umurku masih panjang, maka aku akan membuat perhitungan dengannya, akan tetapi jika aku mati, maka hukumlah dia dengan sekali pancung dan jangan kamu menambahkan pula hukuman untuknya.”
Kemudian beliau berwasiat kepada puteranya Hasan r.a supaya memandikannya dan jangan memakaikan untuknya kain kafan yang mahal. Ali berkata: “sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “janganlah kamu memakaikan kain kafan yang mahal-mahal harganya kerana ia akan cepat hancur.” Di samping itu iringilah mayatku antara dua jalan, jangan terlalu cepat dan jangan pula terlalu lambat, kerana dengan berjalan cepat itu, jika aku beramal baik, maka bererti kamu telah menyegerakan aku kepada kebaikanku itu, dan jika amalku buruk, maka bererti kamu telah melemparkan aku dari bahu kamu kepada keburukanku.”


Rujukan
Kasmuri Selamat (2002), Keinsafan di Penghujung Usia, Selangor: Al-Falah Publications
Muzakkirah “Tasawuf Muqarrin” h: 78-82.

Note: Artikel ini adalah hasil penulisan (tugasan) saya ketika mengambil kursus TASAWWUF PERBANDINGAN dalam menyempurnakan ijazah pertama saya.

1 comment: