Labels

Monday, May 16, 2011

Bhg1:Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah


Dipetik dari Buku: "Apa Ertinya Saya Menganut Islam"
Oleh: Fathi Yakan
Berpegang dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidupnya. Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung di dalam Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Ia mestilah beriman dengan apa yang telah diimani oleh orang-orang Islam terdahulu yang terdiri dari angkatan Salafus-Saleh serta para Imam penyampai agama ini yang telah diakui kebaikan, kebaktian serta ketakwaan mereka. Mereka ini mempunyai kefahaman yang mendalam lagi bersih dalam urusan agama.
Saya petik beberapa perkara yang perlu ada pada seorang MUSLIM dari sudut AKIDAH, bagi memastikan saya benar-benar Muslim dalam AKIDAH maka saya mestilah beriman dengan perkara-perkara berikut:
  1. Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapapun.
  2. Saya mestilah beriman bahawa Tuhan yang Maha Mulia tidaklah mencipta segala kejadian alam secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan. Kerana mustahil bagi Allah yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan itu mencipta sesuatu secara sia-sia.
  3. Saya mestilah beriman bahawasanya Allah s.w.t telah mengutuskan Rasul-rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya mengenali Allah dan memahami matlamat kejadian mereka, mengetahui asal-usul mereka dan ke mana mereka akan kembali. Saya juga beriman bahawa Rasul terakhir dari kalangan Rasul-rasul yang mulia itu ialah Nabi Muhammad s.a.w yang Allah kurniakan kepadanya Al-Quran Al-Karim sebagai satu mukjizat yang berkekalan.
  4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan ialah mengenali Allah 'Azzawajalla.
  5. Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat kepada Allah ialah syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi derhaka ialah api neraka.
  6. Saya juga mesti mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata,tidak menyekutukan dengan yang lain.
  7. Saya juga mestilah takut hanya kepadaNya dan tidak takut kepada yang lain. Perasaan takut tersebut seharusnya menyebabkan saya menjauhi kemurkaan Allah dan larangan-laranganNya.
Serta pelbagai lagi keyakinan&pegangan yang menunjukkan keimanan seseorang MUSLIM dalam menunaikan tanggungjawab sebagai MUSLIM yang sebenar2nya..


No comments:

Post a Comment