Labels

Tuesday, November 8, 2011

Ku rindukan saat-saat itu…Syurga di HATI kami…


Bismillahirrahmanirrahim...
Setiap dari kita mempunyai cara yang tersendiri untuk mencapai kebahagiaan. Ada yang mengatakan kebahagiaan itu terletak pada harta dan kekayaan, ada pula yang mengatakan bahagia itu muncul bila kita merasa senang, sihat, gembira, disayangi dan dihargai(berbalik kepada emosi kita). Uniknya, ada juga yang berpandangan bahawa kebahagiaan itu diperolehi apabila orang di sekelilingnya merasa bahagia. SubhanaALLAH..betapa agungnya ciptaan ALLAH. Setiap dari kita mempunyai pandangan yang berbeza dan itulah yang menjadikan setiap makhluk ciptaan-NYA unik. Haruslah! kita semua serupa tetapi kita tetap berbeza kan? Dengan perbezaan yang pelbagai antara kita, mampu untuk menjadikan kehidupan kita lebih “unik” jika kita pandai untuk me “unik”kannya. Hihihi..Pening kan? Rileks sudaa baa..ini baru mukaddimah.

Bila bercakap pasal bahagia, ku teringat pula pada kenangan-kenangan yang manis. Setiap orang ada kenangan manis yang tidak dapat dilupakan. Kenangan yang manis bagiku adalah bila bersama keluargaku. Sesuai sangatlah dengan pepatah yang kita biasa dengar: “Rumahku syurgaku”. Ya, semestinya bila ku bersama keluarga, kurasakan sangat-sangat bahagia bagaikan berada disyurga (yang tidak dapat diungkapkan dan digambarkan dengan kata-kata). Kami 9 sekeluarga (ayahanda, bonda, 4 putera & 3 puteri). Kami amalkan konsep ”utamakan keluarga tanggungjawab bersama”. Kenangan-kenangan manis bila dapat berkumpul di dalam “syurga” kami: dapat bersama-sama untuk solat berjemaah, makan, menonton movie, beriadah, bergotong-royong bersih halaman, bersantai-santai di pantai (maklumlah rumah dekat dengan pantai), dan bermacam-macam aktiviti yang boleh dilakukan bersama. Indah! Sememangnya indah bila terkenangkan saat-saat itu. Ditambah pula dengan kerenah putera-puteri “syurga” kami yang sememangnya ada “kenakalan” yang tersendiri.  Puteri-puteri (terutama puteri sulung&puteri bongsu) dengan “kenakalan” mulut yang petah berbicara serta telatah yang mencuitkan hati-hati kami yang mendengar. Bila kedua-duanya berbicara dan berkongsi cerita, kedengaran suara bagaikan 10 orang ahli politik sedang berdebat. Putera-putera pula bila bersua muka tidak sah jika tidak mencari “idea baru” untuk mereka-reka cerita dan berlumba-lumba untuk menjadi “raja lawak” yang handal. Bila lawak-lawak yang direka menjadi, maka riuh rendah la “syurga” kami. Bila diimbas kembali kenangan zaman kanak-kanak putera-puteri ini, masing-masing ada cerita yang “indah” dan mampu membuatkan kami semua bahagia dan tertawa.

Umpama si puteri sulung, dari masa kecilnya yang suka mereka-reka “vocabulary”nya yang tersendiri. Yang paling diingati oleh ayahanda dan bonda sehingga menceritakannya kepada putera-puterinya yang lain adalah istilah “Saji”. Saji ni sejenis makanan la. Hihihi.. Entah macam mana boleh tercetusnya idea tu di benak kepalanya. Nak dijadikan cerita, disebabkan teringin sangat nak makan “saji” tu, dia mintalah kat bondanya, lebih kurang macam ni la dialognya, Puteri sulung: “mama, nak makan roti dengan saji”, Bonda:”Saji tu apa?”. Maka kekeliruan la si bonda mencari-cari apakah saji yang dimaksudkan si puterinya tu. Siapa sangka, siapa duga.. Rupa-rupanya “saji” yang dimaksudkan tu adalah mentega@marjerin. SubhanaALLAH. Bijak betul budak tu. Anak siapa la tu?. Manisnya kenangan semalam, setiap kali ku terkenangkan zaman kanak-kanak si puteri sulung tu, satu keluarga kami pun boleh tertawa. Sampai sekarang pun dia masih minat untuk “merekacipta”. Tak kurang juga hebatnya kisah si putera pertama yang zahirnya nampak pendiam. Tapi, diamnya diam ubi. Dalam hati ada taman, siapa tahu? “Jiwo tu buat ore sabar” (dalam loghat Kelantan)..maksudnya: dengan berjiwang2 tu boleh buat dia jadi sabar..sabar je la dengan dia ni. Ayat tu mengingatkanku bila terasa rindu kt dia. Si puteri yang kedua atau panggilan manjanya “mek teh”, masa kecilnya pula suka mengumpul “lolipop”. Lolipop yang kumaksudkan bukannya yang manis-manis tu ya..Tapi ia adalah sejenis benda yang dihisap oleh budak-budak yang berumur lingkungan 3-5 tahun (dikenali sebagai “Puting”). Alahai adik manja, suka ek pada benda alah tu? Uniknya ciptaan ALLAH. Takpe, nanti boleh buka syarikat “lolipop mek teh”. Hihihi. Begitulah seterusnya, nak diceritakan semua tak cukup page pula nanti. Putera-puteri kami yang “unik” ni sememangnya suka merekacipta sesuatu yg baru. Ku dapat rasakan, ini adalah bukti kekuasaan dan kurniaan ALLAH. Turun temurun dari ayahandaku yang merupakan seorang penulis yang kreatif dengan idea-ideanya..”mana tak tumpah kuah, kalau tak ke nasi? Tak kan ke spageti kot? Best juga tu makan spageti dengan keluarga..hihihi..kenangan manis yang tak dilupakan apabila kami bersama-sama mengadakan sambutan hari lahir untuk ahli keluarga, ulangtahun perkahwinan bonda-ayahanda dan semua aktiviti yang dilakukan bersama. Kejelekitan (Mesra+rapat) tu amat terasa bila kami dapat berkumpul berkongsi cerita, berkongsi rasa. Bila masing-masing membuka cerita, memeriahkan suasana “syurga” kami yang sememangnya meriah bila dipenuhi penghuninya.. Ku rindukan saat-saat itu. Zaman dah berubah, kita semua pun dah meningkat usia. Masing-masing berjuang berkorban demi CINTA ILAHI. Redha ALLAH terletak pada redha ibubapa. Maka, ku sentiasa doakan ayahanda dan bonda sihat sentiasa, gembira dengan kami putera-puteri kalian yang sememangnya “unik”, hanya kerana mengharapkan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat kelak. Amin. Doakan kami dalam menuntut dan mengamalkan ILMU ALLAH yang luas. Ku rindukan saat-saat itu…Syurga di HATI kami…


Panduan hidup:
“Sharing is caring, caring is loving,without love, life is nothing".... 
also.. without GOD (Allah), we are nothing... Believe me..
Hidup ini indah jika kita mampu “mengindah”kannya...Sabar&Syukur..InsyaALLAH..Wallahua’lam..♥ =)

Salam mesra, kasih dan sayang dariku: Puteri Sulung 

Monday, July 18, 2011

Petua Mencuci Hati




1) Dirikan solat dan banyakkan berdoa – Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan.Semasa berdoa turut katakan “Ya,Allah jadikan hatiku bersih”

2) Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur, Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3) Solat taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4) Membaca Al-Quran – Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang-kurangnya bacalah “Qulhu-allah” sebanyak 3X.

5) Bermaaf-maafan sesama kawan setiap hari – Semasa meminta maaf perlu sebutkan.

Sunday, July 17, 2011

Awak, Kenapa Kahwin Dengan Saya?



"Aku terima nikahnya Fatimah Az-Zahrah binti Mohamad Nasir dengan mas kahwin RM80.00 tunai".
Dengan sekali lafaz, aku kini sah bergelar isteri. Lidahku kelu tidak mampu berkata apa-apa. Perasaanku bercampur baur. Pipiku terasa hangat dan basah. Aku tidak pasti mengapa air mataku jatuh sedangkan aku sepatutnya gembira dengan pernikahan ini.
Abdul Rahman bin Abdullah, itu lah nama jejaka yang kini telah sah menjadi suamiku. Dialah yang akan menjadi teraju masjid yang telah kami bina. Orangnya tinggi, kulitnya agak cerah, matanya bersinar, wajahnya seakan-akan bercahaya. Mukanya tidaklah persis Orlando Bloom yang dinobatkan menjadi "hot papa", mahupun Kim Hyun Joong yang menjadi kegilaan ramai gadis. Dia tidaklah terlalu kacak, tetapi sedap mata memandang. 
Dirinya memang selalu menjadi buah mulut orang. Apakan tidak, sudahlah mukanya manis di pandang, di tambah pula dengan sikapnya yang zuhud. Ya, dia seorang yang taat kepada Maha Pencipta, Tuhan Sekalian Alam. Selepas sahaja dia melafazkan akad, dia terus lakukan sujud syukur. Sungguh. Dia memang menjadi idaman siapa sahaja yang melihatnya. Aku juga aneh kenapa dia memilih aku? Sedangkan dia begitu baik, begitu alim, begitu sempurna..
Hingga detik ini aku masih belum mendapat jawapannya. Kenapa aku yang dipilihnya? Aku bukanlah baik mana. Kalau diikutkan, di luar sana, masih ada berjuta wanita yang boleh dipilihnya. Masih ramai lagi yang lebih baik daripadaku. Tapi, kenapa aku? Pakai tudung pun masih tidak pecus lagi. Kerap kali pemakaian tudung ku masih tidak mengikut saranan agama.
"Alhamdulillah. Sekarang, kita sah menjadi suami isteri. Abang harap, dengan penyatuan kita, dapatlah kita sama-sama berjuang ke jalan Allah", ujar suamiku menghentikan lamunanku sebentar tadi.
Di pandangnya wajahku, kemudian di lapnya benih-benih jernih yang keluar dari kelopak mataku. Selepas disarungkan cincin ke jari manisku, kusalam tangannya. Dia kemudiannya mencium dahiku. Entah kenapa pada waktu itu aku terasa tenang. Aku dapat rasakan keselamatan yang selama ini tidak pernah kurasakan dengan mana-mana lelaki lain. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Air mataku tetap laju merembes keluar dari hujung pagar kelopakku.
"Alhamdulillah, anak mak sudah jadi isteri orang sekarang ni. Jadi isteri ni, tak mudah. Tapi, banyak ganjarannya. Lepas ni, kamu kena duduk dengan suami, jaga makan minum suami. Pesan mak jangan lupa, ya nak. Kata suami jangan ingkar", pesan ibuku sebelum aku pergi mengikut suamiku pulang ke rumah baru kami.
***
"Zahrah, dari tadi Abang tengok Zahrah diam je. Kenapa? Zahrah tak sedap badan ke?" tanya suamiku memecahkan kesunyian yang tercipta di antara kami.
Aku masih tidak mampu untuk berkata apa-apa. Ku gelengkan sahaja kepalaku menunjukkan kepadanya bahawa aku tidak apa-apa. Namun, dia terus ajukan soalan kepadaku,"Dah tu, kenapa Zahrah diam? Zahrah rindu mak ye?"
Usikannya langsung tidak mendapat respon daripadaku. Aku masih duduk kaku di sofa ruang tamu rumah kami.
Alhamdulillah. Biarpun, rumah kami tidaklah besar mana tapi cukup dengan kelengkapan rumah. Set sofa, televisyen, peti sejuk, semuanya sudah lengkap tersedia. Suamiku memang benar-benar bijak merancang sebelum berkahwin. Dilengkapi dulu segalanya sebelum dia masuk merisik si gadis sunti.
Perlakuanku yang dari tadi diam membisu ibarat seorang anak kecil yang baru lepas dimarahi menyebabkan si dia mengambil keputusan untuk mendekatiku justeru terus mengatur langkah ke arahku dan mengambil posisi betul-betul di sebelahku. Di pegangnya pipiku, diusapnya kepalaku. Wajahnya begitu tenang menyebabkan aku turut tenang. Terus terdetik dalam hatiku 'Ah, untungnya badan.
Sudahlah kacak, baik pula tu' Ditenungnya mataku dalam-dalam sebelum dia bertanyakan semula padaku, "Zahrah, kalau awak tak selesa Abang faham. Ni kali pertama awak hidup tanpaparents kan. Abang faham Zahrah. Susah bagi awak nak terima semua ni. Tapi, dari tadi Abang tak nampak pun Zahrah senyum. Kot ye pun, senyum lah sikit. Zahrah comel tau kalau senyum," dia cuba memujuk agar aku mengukir senyuman.
Entah kenapa, bibirku mula mengukir senyuman. Aneh. Kenapa aku akur dengan kata-kata dia? Ah! Aku tidak mahu lagi berada dalam kekeliruan. Aku perlu tahu kenapa dia beria-ia mahu menikahi aku. Gadis yang begitu banyak kelemahannya. Gadis yang tak pernah pun ambil peduli pasal dia malah aku tak pernah mengenalinya secara dekat sebelum ini. Oleh sebab itu aku perlu tahu. Aku ni sekadar pelengkap hidup dia yang sememangnya lengkap tu ke? Ye lah. Semuanya dia ada. Yang kurang, cuma isteri. Lagi-lagi umur dia yang dah masuk 30-an. Entah-entah aku ni pilihan dia yang terakhir.
"Hmm.... awak, kenapa awak nak kahwin dengan saya?" ayat pertama yang keluar dari rongga mulutku setelah bergelar suami isteri.
"Laa.. Sebab tu je ke. Zahrah cuma nak tahu tu je? Tu yang Zahrah diam membisu dari tadi?", ujar sang suami diikuti ketawa kecil.
"Awak, saya tanya kenapa awak nak kahwin dengan saya?" tanyaku dengan nada yang lebih tegas.
"Hmm... Zahrah nak Abang jawab macam mana? Biar Abang jawab asalkan isteri Abang senyum,"soalanya kembali dengan lemah lembut.
"Awak, saya tak main-main ni. Saya tanya sekali lagi. Kenapa awak kahwin dengan saya?"bentakku.
"Okay. Abang akan jawab. Tapi, sebelum tu boleh Abang tahu kenapa Zahrah kahwin dengan Abang?" Soalnya pula seakan ingin menjeratku kembali.
Terkaku kelu lidahku mendengar ungkapan balas darinya. Ya, kenapa aku mengahwininya? Kalau aku tidak mahu, boleh saja aku katakan tidak. Tapi, kenapa aku terima? Kenapa aku tidak membantah di saat ibu dan ayah menjodohkan aku dengan dirinya? Apa yang membuatkan aku tertarik dengan si dia? Sebab wajahnya kah? Atau sebab kebijaksanaan si teruna? Atau mungkin kerana keimanannya? Aku tidak tahu. Aku keliru.
"Kenapa Zahrah membisu?" tanya si suami membuatkan aku tersedar.
"Saya tanya awak dulu kan! Awak jawab je lah! Jangan nak ubah topik boleh tak?" Bentakku sudah hilang sabar kerana terasa seolah sedang dipermainkan.
Dia agak terkejut dengan nada ku yang tinggi itu. Namun dia tidak marah. Yang menghairankan ku lagi, dia cuma tersenyum.
"Abang kahwin dengan Zahrah sebab Allah," ujarnya ringkas tetapi seakan penuh makna.
"Awak, dari dulu sampai sekarang itu je yang awak kata. I need your explanations! Please, I need to know the truth. Stop fooling around with God's name, boleh tak? Kalau awak nak menarik perhatian saya dengan jawapan awak tu, fine! You've made it! Saya tertarik bila dengar awak cakap macam tu. Tapi, sekarang please lah! Since, kita memang dah sah jadi husband and wife, I need to know why. And by saying that, I mean, explanation. saya tak nak hidup dalam kekeliruan. Hidup dalam sangkaan yang awak kahwin dengan saya sebab saya ni last choice.I'm tired of being the person who people i'll turn to bila diorang tengah lonely. Bila diorang dah tak ada tempat lain untuk mengadu, untuk berseronok, untuk bergelak tawa, baru diorang nak cari saya. Saya penat diperlakukan sebegitu. Awak faham?" jawabku panjang dan keras.
Ku palingkan mukaku darinya. Entah kenapa aku begitu takut untuk berkata kasar tepat pada wajahnya. Entah kenapa secara automatik aku berkata begitu tanpa ada sedikit pun keberanian memandang mukanya.
Sekali lagi, dia mengalihkan wajahku tepat memandang wajahnya. Senyuman nipis terukir di bibirnya. Tiada langsung bara kemarahan yang dapat dilihat dalam irisnya.
"Abang kahwin dengan Zahrah cuma ada satu sebab. Tak lebih, cuma satu. Orang lain, mungkin ada banyak sebab tapi bagi Abang, cukuplah satu sebab Abang. Abang kahwin dengan Zahrah bukan sebab Zahrah cantik. Abang akui, Zahrah memang cantik. Tapi, jujur Abang katakan kalau Abang nak cari yang lebih cantik, Abang boleh. Tu langsung tak menjadi masalah. Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab Zahrah bijak. Buat apa Abang kahwin dengan orang yang bijak yang satu hari nanti berkemungkinan besar akan pijak kepala Abang? Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab kemewahan. Tidak Zahrah, tidak sama sekali. Kalau mahukan kemewahan, segalanya Abang dah ada. Rumah.. Kereta... Walaupun tidaklah sebagus dan semahal mana, tapi sekurang-kurangnya Abang ada," balasnya lembut penuh hikmah dengan makna yang amat mendalam.
Kata-katanya lagi sekali membuatkan flood gate ku mula penuh hanya menanti masa untuk dirembeskan. Aku benar-benar kaget mendengar ucapannya. Seketul organ yang aku bawa selama ini, yang aku jaga daripada dipermainkan oleh mana-mana insan yang bergelar lelaki bagaikan ditusuk dan dirobek-robek halus oleh kata-katanya. Sinis sungguh arjuna ini! Mentang-mentang aku sudah sah menjadi isteri, boleh pula dia suka-suka hati cakap macam tu kat aku. Indah khabar dari rupa sungguh! Mahu sahaja aku tampar mukanya. Namun, entah kenapa badanku terus diam kaku. Seakan-akan masih menanti kata-kata yang bakal keluar dari bibirnya.
"Zahrah nak tahu kenapa Abang kahwin dengan Zahrah? Jawapan Abang memang takkan berubah, sayang. Tidak kiralah macam mana pun Zahrah tanya Abang, jawapan Abang tetap sama. Abang kahwin dengan Zahrah kerana Allah. Allah yang menentukan jodoh kita. Rusuk Abang, ada pada Zahrah. Jadi, siapa yang dapat melindungi hati Abang melainkan Zahrah? Mungkin Zahrah fikir kita tidak secocok. Tapi, ini semua perancangan-Nya, Zahrah. Kecantikan Zahrah, kebijaksanaan Zahrah, kemewahan Zahrah, itu semua tidak menarik Abang kepada Zahrah. Apa yang menarik Abang pada Zahrah adalah Allah. Segalanya telah Allah tentukan. Bila kita lahir, bila kita meninggal, siapa jodoh kita, berapa banyak rezeki kita, semua itu Allah telah tetapkan, sayang," tutur suamiku ikhlas.
Sekali lagi, kata-katanya menusuk kalbuku. Kali ini, air mataku tidak dapat dibendung lagi. Tersedu sedan aku menangis mendengar kata-katanya. Terus dipeluknya aku erat. Saat ini, aku terasa nyaman. Selamat sungguh aku rasa dalam pelukannya. Biarpun tangisan ku semakin menjadi-jadi, tapi hatiku seolah-olah mendapat satu ketenangan yang tidak dapat aku ungkapkan.
"Apa yang boleh Abang katakan, Abang tidak mungkin akan mengungkapkan kata-kata seperti orang lain. Bermanis mulut mengatakan isterinya begini begitu, menjawab persoalan mengapa dia mencintai isterinya dengan memberikan pelbagai perumpamaan. Abang tidak mampu melakukan semua itu. Tapi, kalau itu yang Zahrah mahu, Abang usahakan. Dengan izin-Nya, insya-Allah, Abang cuba. Tapi, tolong jangan terus menerus mempersoalkan ini dan itu. Ini semua kehendak Yang Maha Esa, sayang. Kita Muslim, kepercayaan kepada Allah adalah asas. Itu tonggak kebahagiaan kita dunia akhirat. Abang harap, Zahrah faham. Kita hidup atas dunia ni sementara," pujuknya tatkala melihat aku mulai menangis.
"Ta....tapi..... Abang tak kenal pun Zahrah... Abang tak pernah tahu pun hati budi Zahrah," aku cuba menduganya dalam sedu-sedan.
"Sekarang pun, kita boleh kenal antara satu sama lain kan? kita dah jadi suami isteri, lebih mudahlah Abang nak kenal isteri Abang, tak gitu?
"Ta....tapi..... Abang tak tahu siapa Zahrah. Zahrah ni jahat. Abang baik. A..." aku masih ingin menduganya. Aku mahu dia tahu aku bukanlah sebaik dirinya. Aku tidak setaraf dengannya.
Dilekapkan jari telunjuknya ke bibirku. "Tiada siapa yang boleh menentukan kebaikan seseorang melainkan Allah, sayang. Tiada seorang pun. Hanya Allah yang selayaknya untuk memutuskan siapa yang baik, siapa yang tidak."
Kualihkan jari runcingnya dari bibirku, lantas ku pandang wajahnya. Memang benar kata orang, memang sejuk mata memandangnya. Dia masih kelihatan begitu tenang biarpun aku sudah mengasarinya. Hebat sungguh arjuna ini mengawal emosinya. Aku mengerti jika dia marah. Sudahlah baru sahaja selesai resepsi, penat masih belum hilang, tak semena-mena isterinya pula buat hal. Kagum sungguh aku dengan lelaki yang telah selamat menjadi suamiku.
"Abang, Zahrah minta maaf. Zahrah tak bermaksud nak berkasar dengan Abang. Tapi, bila ada yang mempersoalkan sebab kita berkahwin, Zahrah jadi keliru. Sungguh" ujarku terketar-ketar dalam tangisan.
Suamiku hanya mendiamkan diri. Dibelainya aku perlahan dengan harapan dapat menenangkan aku.
"Abang sendiri tahu, Zahrah tidaklah secantik mana, tidaklah sebijak mana. Mahu dibanding dengan gadis yang pernah Abang temui, mungkin Zahrah tidak langsung setaraf dengan mereka. Lagi-lagi kita tidak pernah keluar bersama. Alih-alih, kita nikah. Mestilah timbul curiga dalam hati orang" terangku satu persatu.
"Zahrah, sudahlah tu. Abang faham Zahrah inginkan penjelasan. Memang Zahrah berhak tahu kenapa abang berkahwin dengan Zahrah. Im marrying you because of Allah and the answer will remain the same forever. Zahrah percayakan Abang?" Soalnya ingin tahu isi hatiku.
Aku mengangguk tanda setuju. Tidak ada lagi kalimah yang bisa kususun melainkan ucapan puji bagi Ilahi. Terima kasih, Ya Rabb kerana mempertemukan aku dengannya. Terima kasih, Azza wa Jalla kerana kau mempertemukan aku dengan seorang lelaki yang bisa mendekatkanku dengan-Mu. Terima kasih, Ya Allah


Friday, June 17, 2011

Petua Untuk Hati


Istimewa untuk hati yang sedang bersedih, jiwa yang sedang berduka, minda yang sedang berkecamuk, inilah petua terbaik buat mengubat resah dan gundah:
  • Amalkan tasbih, tahmid dan takbir - Inilah petua yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada anaknya Siti Fatimah.
    • Berdoa - Mohonlah kepadaNya. Ingatlah, doa itu senjata bagi orang mukmin.
    • Sibukan diri dengan sesuatu - Lakukan aktiviti yang boleh melupakan segala kekusutan seperti perbanyakan membaca al-Quran & pelbagai bahan bacaan, terlibat dengan aktiviti usrah, kemasyarakatan dan sebagainya.
    • Luahkan perasaan anda - Bermacam cara boleh digunakan untuk meluahkan perasaan. Carilah seseorang yang paling anda percaya (sebaiknya yang ada pertalian darah atau orang yang arif dalam agama), menulis diari atau catatan harian, menulis blog dan sebagainya.
    • Senyum - Apabila berada dalam tekanan, cubalah untuk senyum. Senyumlah dihadapan cermin dan lihatlah diri anda yang sedang tersenyum. Ia mampu menenangkan fikiran dan hati.

    Resepi Perkahwinan Bahagia

    10 Aroma Rempah Ratus "K" - Kekalkan Kebahagiaan Rumah Tangga:
    1. Ketaqwaan.
    2. Komitmen.
    3. Komunikasi.
    4. Keikhlasan.
    5. Kompromi.
    6. Kepercayaan.
    7. Kesetiaan.
    8. Kesabaran.
    9. Keintiman.
    10. Kasih Sayang.
    8 Gabungan Herba "P" - Semarakkan Cinta dan Sayang:

    1. Penerimaan.
    2. Pemberian.
    3. Perlindungan.
    4 Perkongsian.
    5. Penyesuaian.
    6. Penghargaan.
    7. Pengharapan.
    8. Pemaaf.




    9 Campuran Herba Ikatan Mesra Pasangan:


    1. Ambil Berat.
    2. Budi Bahasa.
    3. Doa.
    4. Gurauan.
    5. Hormat.
    6. Rahmat.
    7. Sensitiviti atau Cemburu.
    8. Sokongan.
    9. Realistik.



    Sumber: Buku (Bahagianya Menjadi Pengantin Sepanjang Masa,oleh Mardiana Mat Ishak)







    Saturday, June 11, 2011

    Bersediakah Anda Untuk Mati?



    Mati. Setiap yang bernyawa pasti dan akan mati. Bercerai roh dari jasad. Tahukah anda bila anda akan mati? Bersediakah anda untuk mati? Jika ditanya pada aku, sudah pasti jawapannya, aku masih tidak bersedia! Kenapa masih tidak bersedia?

    Bukan untuk menikmati keindahan duniawi, bukan juga
    masih tidak puas hidup di dunia yang penuh godaan ini, tetapi mengenangkan terlalu banyak dosa yang masih belum di-top up dengan pahala, amalan yang amat sedikit apatah lagi Iman yang ibarat roda, turun dan naik. Sekejap di atas sekejap di bawah, aku terlalu takut dan malu untuk mengadap-Nya.
    Pernahkah anda terfikir yang anda akan mati dengan tiba-tiba tanpa sebarang petanda? Aku pernah dan selalu. Tidak mengira masa terutamanya apabila berbaring untuk melelapkan mata, aku akan termenung sejenak. Merenung syiling yang bersawang, dalam cahaya yang
    samar."Macam mana agaknya kalau Allah tiba-tiba nak cabut nyawa aku?" Aku fikir dengan mendalam dan selalunya datang perasaan gemuruh, gentar. Serius. Kita tidak tahu bila kita akan meninggalkan dunia ini.

    Bila-bila masa saja.
    Pernah, selalunya bila hampir terlelap, tiba-tiba datang perasaan seolah-olah nyawa hendak pergi. Terkejut. Terus beristighfar seraya bermonolog, "Ya Allah, jangan ambil nyawa aku lagi, jangan! Aku masih tidak bersedia lagi ya Allah!"
    Serius. Aku bukan cakap sebarangan. Mungkin aku terlalu memikirkan banyak perkara. Pernah juga aku suarakan tentang perkara ini kepada ibu yang aku panggil umi, "Umi, kenapa along selalu fikir pasal mati eh? Petanda ke ni?"
    Cepat saja umiku memotong kata, "Hish! jangan fikir bukan-bukan la.. Tu maknanya Allah nak along perbanyakkan amalan, ibadah, biar jadi orang beriman.."
    Cuba anda fikirkan sejenak, hari ni kita tengok orang itu meninggal, orang ini meninggal, kita bersedih untuk orang itu dan menangis untuk orang ini. Tetapi, cuba anda bayangkan esok pula orang menangis untuk anda.
    Setiap hari ada sahaja orang meninggal dan kadangkala dengan sebab yang tidak munasabah dan tidak tersangka. Jangan ingat mati itu menjemput tika hari tua, sebab sakit tua, apabila usia mencapai 70 dan ke atas. Kata orang, umur kritikal untuk ke masjid.
    Apa salahnya kita muhasabah diri. Kadang-kadang aku termenung, kenapa orang itu dan orang ini masih leka bermaksiat, kalau tiba-tiba Allah cabut nyawa masa itu, alangkah ruginya.
    Dulu, masa belajar di kolej matrikulasi, aku sempat menyertai dan mengikuti jemaah tabligh. Banyak yang aku belajar dan masih banyak yang aku tidak ketahui. Masih aku ingat kata-kata ini, "Amalan kita, solat kita, puasa kita dan sebagainya itu bukan menjamin kita untuk ke syurga-Nya. Beribadahlah berterusan seribu tahun sekalipun belum tentu menjamin kita untuk ke syurga Allah." Aku terkedu.
    "Ya Allah, layakkah aku untuk ke Syurga-Mu?" Aku bertanya.
    Habis itu apa yang menjamin kita untuk ke Syurga Allah?
    Jawapannya ringkas saja, "Keredhaan Allah". Keredhaan Allah yang membenarkan kita untuk menjejakkan kaki ke Syurga nan indah itu. Wallahualam.
    Jadi, setiap perkara yang kita lakukan, biarlah mendapat keredhaan-Nya. Apa jua perkara sekalipun. Muhasabahkan diri.
    Apabila anda bersendirian, keadaan sunyi sepi.. cuba pejamkan mata. Bayangkan sudah tiba masanya untuk anda pergi selamanya. Sakit bukan kepalang.. luka terhiris sembilu sudah pedih, apatah lagi roh yang hendak bercerai dari jasad.
    Anggota badan anda tidak dapat bergerak, bermula dari bawah.. perlahan-lahan ke atas. Deria anda yang terakhir yang dapat berfungsi ialah telinga. Saat itu, semuanya sudah gelap gelita, hanya dapat mendengar bunyi persekitaran.
    Telinga adalah deria terakhir yang berfungsi sebelum roh meninggalkan jasad. Sebab itulah kita dikehendaki membisikkan kalimah syahadah di kala seseorang sudah nazak. Nazak bermakna nyawa sudah sampai ke penghujungnya.
    Memuhasabah diri sedikit sebanyak dapat membantu kita, sejauh manakah kesedaran kita.. kesediaan kita untuk mati. Jangan sedar saja, hendaklah disusuli dengan amalan yang diredhai-Nya. Aku berpesan kepada diri sendiri dan rakan-rakan sekalian. Moga hidup kita sentiasa diberkati dan diredhai Allah S.W.T.

    Bhg 3:Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akhlak

    Dipetik dari Buku: "Apa Ertinya Saya Menganut Islam"Oleh: Fathi Yakan

    1. Menjauhkan diri dari perkara-perkara syubhat.
    Seorang muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala perkara yang dilarang oleh Allah dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya (syubhat).
    2. Memelihara pandangan.
    Seseorang muslim itu mestilah memelihara dirinya dari melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan terhadap sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan merupakan faktor yang membawanya ke kancah pelanggaran dan maksiat. Berhubung dengan perkara-perkara ini Al-Quran mengingatkan orang-orang mukmin supaya memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi faedah. Allah s.w.t berfirman: Yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram).
    (Surah An-Nur, Ayat: 30).
    3. Memelihara lidah.
    Seseorang muslim mestilah memelihara lidahnya dari menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, perbuatan-perbuatan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan kosong, mengumpat keji dan mengadu domba. Imam Nawawi rahimahullah mengatakan: Ketahuilah, seseorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja hasilnya maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang. Sebenarnya banyak dari hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang menerangkan keburukan dan bencana lidah ke atas yang empunya diri: Yang bermaksud: Tidaklah dihumbankan muka manusia ke dalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek) lidahnya (Hadis Riwayat Tirmizi).
    4. Bersifat pemalu.
    Seseorang muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya dari memperkatakan kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup serta memadai sekadar yang ada serta sifat-sifat seumpamanya.
    5. Bersifat lemah-lembut.
    Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri seseorang Muslim ialah sifat sabar dan lemah-lembut kerana kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan dakwah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyeksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan. Semua halangan-halangan ini sering dihadapi oleh
    para petugas amal Islami, sehingga hemah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan dakwah. Oleh yang demikian dia wajib menyampaikan dakwah kepada semua golongan itu sesuai dengan kadar kemampuan penerimaan akal mereka. Ia mestilah berusaha menguasai dan memasuki jiwa mereka seluruhnya. Semua ini sudah pasti memerlukan kekuatan dari kesabaran yang tinggi, ketabahan dan lemah lembut. Oleh itu kita dapati banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi menganjurkan dan mengarahkan agar seseorang da'ie itu itu berakhlak dengan sifat sabar, lemah-lembut dan berhati-hati.
    6. Bersifat benar.
    Seorang muslim itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta. Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan. Seseorang yang memelihara dirinya dari kebiasaan berdusta bererti dia memiliki pertahanan dan benteng yang dapat menghalang dari was-was syaitan dan lontaran-lontarannya. Berhati-hati dan memelihara diri dari sifat dusta akan menjadikan jiwa seorang itu mempunyai pertahanan dan benteng yang kukuh menghadapi hasutan dan tipu-daya syaitan. Dengan demikian jiwa seseorang akan sentiasa besih, mulia dan terhindar dari tipu-daya syaitan. Sebaliknya sifat dusta meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi insan. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat dusta dan menganggap sebagai satu penyakit dari penyakit-penyakit yang laknat.
    7. Bersifat tawaduk.
    Seseorang muslim mestilah bersifat tawaduk atau merendah diri khususnya terhadap saudara-saudaranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberikan layanan) sama ada yang miskin mahupun yang kaya. Rasulullah s.a.w sendiri memohon perlindungan kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur (membangga diri). Baginda bersabda: Yang bermaksud: “Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah (sedikit) sifat takbur.” (Hadis riwayat Muslim)
    8. Menjauhi sangka buruk dan mengumpat.
    Menjauhi sangka buruk, mengumpat dan mengintai-intai keburukan orang lain. Firman Allah,yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah
    seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
    (Surah Al-Hujuraat, Ayat: 12).
    9. Bermurah hati.


    Kemuliaan akhlak adalah matlamat utama bagi ajaran Islam sebagaimanayang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w tentang tujuan pengutusan baginda:Yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak". Kemuliaan akhlak adalah tanda keimanan seseorang kerana ia adalah hasil dari keimanannya. Adalah tidak dikira beriman seseorang yang tidak berakhlak. Berhubung dengan hal inilah Rasulullah s.a.w menyatakan:
    Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam
    di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan(Hadis riwayat Ad-Dailami).
    Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang apa itu agama? Baginda menjawab: Kemuliaan akhlak (Husnul Khuluq). Apabila ditanya tentang apa itu kejahatan, baginda menjawab: Akhlak yang buruk (Su'ul Khuluq). Akhlak mulia yang dimiliki oleh seseorang hamba merupakan amalan
    yang paling berat dalam timbangan di hari kiamat nanti. Oleh itu sesiapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalannya tidak akan dipercepatkan hisabnya. Di dalam Islam akhlak yang mulia itu lahir sebagai hasil dari berbagai ibadat yang dilakukan. Tanpa hasil ini, tinggallah ibadat-ibadat itu sebagai upacara dan gerak-geri yang tidak memiliki apa-apa nilai dan tidak membawa
    apa-apa faedah. Berhubung dengan sembahyang contohnya, Allah s.w.t menyebut di dalam Al-Quran: Yang bermaksud: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar(Surah Al-Ankabuut, Ayat: 45).

    Sifat-sifat Akhlak Seorang Muslim:

    1. Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat.
    2. Memelihara Penglihatan.
    3. Memelihara Lidah.
    4. Bersifat Pemalu.
    5. Bersifat Lemah-lembut dan Sabar.
    Firman Allah:
    وََلمَنْ صَبَرَ وَ َ غَفرَ إِنَّ َ ذلِكَ َلمِنْ عَزْمِ الُْأمُورِ
    Yang bermaksud: Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan
    memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu
    adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).
    (Surah Asy-Syura, Ayat: 43).

    Selain dari sifat-sifat yang dinyatakan di atas, seorang muslim mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik(Qudwah Hasanah)kepada orang ramai. Segala tingkah-lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya.

    Tips/Panduan Atasi Zina Hati



    Selagi dinamakan manusia, kita mempunyai perasaan suka mengasihi dan dikasihi. Memang adat kehidupan bahawa kasih cinta didahului dengan berasa rindu, namun jangan pula rindu berlebihan.
    Kerinduan kepada kekasih, sering kali membekaskan duka, penyakit menyebabkan kelemahan hati.
    Kita sebenarnya berperang dengan perasaan. Namun, seorang Muslim akan terasa nikmat jika dapat menjauhi keluhan, kesedihan dan kerinduan ini.
    Ibnu Qayyim memberikan terapi mujarab mengenai masalah rindu.
    Sebelum itu beliau memberikan sebab mengapa rasa rindu berlebihan terjadi. Antaranya: Hati tidak terisi oleh rasa cinta, syukur, zikir dan ibadah kepada Allah sebaliknya membiarkan mata meliar. Pandangan dan renungan mata adalah jalan membawa kepada kesedihan dan keresahan.
    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
    "Pandangan mata itu satu daripada sekian banyak anak panah iblis."
    Setiap penyakit ada ubatnya. Ubat yang terbaik adalah meneguk daripada pengajaran Al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud:
    "Demikianlah supaya kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba kami yang terpilih." (Surah Yusuf, ayat ke-24)
    Berikut adalah beberapa tips yang ingin dikongsikan bersama :
    Ikhlas kepada Allah.
    Ikhlas adalah ubat penyakit rindu. Ikhlas kepada Allah bermakna selalu berusaha berada di pintu ibadah dan memohon kesembuhan daripada Allah. Jika kita ikhlas kepada Allah, Allah akan menolong kita daripada penyakit kerinduan melalui cara tidak pernah terdetik di hati.
    Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan:
    "Sungguh jika hati telah berasakan manisnya ibadah kepada Allah dan ikhlas kepada-Nya, nescaya ia tidak akan menjumpai hal lain yang lebih manis, indah, nikmat dan baik daripada Allah. Manusia tidak akan meninggalkan sesuatu dicintainya, melainkan selepas memperoleh kekasih lain yang lebih dicintainya.
    Doa mengundang sikap, rasa fakir dan rendah diri di hadapan Allah.
    Oleh itu doa adalah salah satu bentuk ibadah yang agung. Ketika kita berada dalam kesempitan, kita bersungguh-sungguh dalam berdoa, berasakan Allah amat dekat mendengarkan rayuan.
    Mengurus mata dan pandangan.
    Pandangan yang berulang-ulang adalah suis penting menyalakan api rindu. Orang yang memandang dengan sepintas lalu jarang berasakan hati terusik dan jatuh.
    Ibnu Qayyim menyatakan:
    "Orang berakal tidak mudah tergelincir jatuh hati dan rindu, dia tidak tertimpa pelbagai kerosakan. Barang siapa yang terjun ke dalamnya maka ia termasuk orang yang menzalimi diri sendiri, tertipu dan akhirnya binasa. Jika dia tidak melakukan pandangan berkali-kali terhadap orang yang dikagumi dan usahanya itu meragut benang asmara, pastilah asmara tidak akan kukuh mencengkam jiwanya."
    Bernikah dan membina rumah tangga adalah langkah paling baik.
    Inilah ubat rindu paling baik. Tidak semestinya bernikah dengan orang yang kita kagumi. Meskipun pernikahan itu dilangsungkan tidak dengan orang dicintai dan diidamkan.
    Sumber: Artikel iluvislam.com