Labels

Saturday, June 11, 2011

Bhg 3:Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akhlak

Dipetik dari Buku: "Apa Ertinya Saya Menganut Islam"Oleh: Fathi Yakan

1. Menjauhkan diri dari perkara-perkara syubhat.
Seorang muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala perkara yang dilarang oleh Allah dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya (syubhat).
2. Memelihara pandangan.
Seseorang muslim itu mestilah memelihara dirinya dari melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan terhadap sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan merupakan faktor yang membawanya ke kancah pelanggaran dan maksiat. Berhubung dengan perkara-perkara ini Al-Quran mengingatkan orang-orang mukmin supaya memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi faedah. Allah s.w.t berfirman: Yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram).
(Surah An-Nur, Ayat: 30).
3. Memelihara lidah.
Seseorang muslim mestilah memelihara lidahnya dari menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, perbuatan-perbuatan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan kosong, mengumpat keji dan mengadu domba. Imam Nawawi rahimahullah mengatakan: Ketahuilah, seseorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja hasilnya maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang. Sebenarnya banyak dari hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang menerangkan keburukan dan bencana lidah ke atas yang empunya diri: Yang bermaksud: Tidaklah dihumbankan muka manusia ke dalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek) lidahnya (Hadis Riwayat Tirmizi).
4. Bersifat pemalu.
Seseorang muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya dari memperkatakan kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup serta memadai sekadar yang ada serta sifat-sifat seumpamanya.
5. Bersifat lemah-lembut.
Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri seseorang Muslim ialah sifat sabar dan lemah-lembut kerana kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan dakwah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyeksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan. Semua halangan-halangan ini sering dihadapi oleh
para petugas amal Islami, sehingga hemah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan dakwah. Oleh yang demikian dia wajib menyampaikan dakwah kepada semua golongan itu sesuai dengan kadar kemampuan penerimaan akal mereka. Ia mestilah berusaha menguasai dan memasuki jiwa mereka seluruhnya. Semua ini sudah pasti memerlukan kekuatan dari kesabaran yang tinggi, ketabahan dan lemah lembut. Oleh itu kita dapati banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi menganjurkan dan mengarahkan agar seseorang da'ie itu itu berakhlak dengan sifat sabar, lemah-lembut dan berhati-hati.
6. Bersifat benar.
Seorang muslim itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta. Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan. Seseorang yang memelihara dirinya dari kebiasaan berdusta bererti dia memiliki pertahanan dan benteng yang dapat menghalang dari was-was syaitan dan lontaran-lontarannya. Berhati-hati dan memelihara diri dari sifat dusta akan menjadikan jiwa seorang itu mempunyai pertahanan dan benteng yang kukuh menghadapi hasutan dan tipu-daya syaitan. Dengan demikian jiwa seseorang akan sentiasa besih, mulia dan terhindar dari tipu-daya syaitan. Sebaliknya sifat dusta meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi insan. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat dusta dan menganggap sebagai satu penyakit dari penyakit-penyakit yang laknat.
7. Bersifat tawaduk.
Seseorang muslim mestilah bersifat tawaduk atau merendah diri khususnya terhadap saudara-saudaranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberikan layanan) sama ada yang miskin mahupun yang kaya. Rasulullah s.a.w sendiri memohon perlindungan kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur (membangga diri). Baginda bersabda: Yang bermaksud: “Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah (sedikit) sifat takbur.” (Hadis riwayat Muslim)
8. Menjauhi sangka buruk dan mengumpat.
Menjauhi sangka buruk, mengumpat dan mengintai-intai keburukan orang lain. Firman Allah,yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah
seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(Surah Al-Hujuraat, Ayat: 12).
9. Bermurah hati.


Kemuliaan akhlak adalah matlamat utama bagi ajaran Islam sebagaimanayang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w tentang tujuan pengutusan baginda:Yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak". Kemuliaan akhlak adalah tanda keimanan seseorang kerana ia adalah hasil dari keimanannya. Adalah tidak dikira beriman seseorang yang tidak berakhlak. Berhubung dengan hal inilah Rasulullah s.a.w menyatakan:
Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam
di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan(Hadis riwayat Ad-Dailami).
Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang apa itu agama? Baginda menjawab: Kemuliaan akhlak (Husnul Khuluq). Apabila ditanya tentang apa itu kejahatan, baginda menjawab: Akhlak yang buruk (Su'ul Khuluq). Akhlak mulia yang dimiliki oleh seseorang hamba merupakan amalan
yang paling berat dalam timbangan di hari kiamat nanti. Oleh itu sesiapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalannya tidak akan dipercepatkan hisabnya. Di dalam Islam akhlak yang mulia itu lahir sebagai hasil dari berbagai ibadat yang dilakukan. Tanpa hasil ini, tinggallah ibadat-ibadat itu sebagai upacara dan gerak-geri yang tidak memiliki apa-apa nilai dan tidak membawa
apa-apa faedah. Berhubung dengan sembahyang contohnya, Allah s.w.t menyebut di dalam Al-Quran: Yang bermaksud: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar(Surah Al-Ankabuut, Ayat: 45).

Sifat-sifat Akhlak Seorang Muslim:

1. Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat.
2. Memelihara Penglihatan.
3. Memelihara Lidah.
4. Bersifat Pemalu.
5. Bersifat Lemah-lembut dan Sabar.
Firman Allah:
وََلمَنْ صَبَرَ وَ َ غَفرَ إِنَّ َ ذلِكَ َلمِنْ عَزْمِ الُْأمُورِ
Yang bermaksud: Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan
memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu
adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).
(Surah Asy-Syura, Ayat: 43).

Selain dari sifat-sifat yang dinyatakan di atas, seorang muslim mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik(Qudwah Hasanah)kepada orang ramai. Segala tingkah-lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya.

No comments:

Post a Comment