Remaja sering dilihat berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran dalam proses mereka menempuh alam dewasa. Pada ketika ini setiap aspek dalam kehidupan mereka berada pada tahap maksimum. Nafsu yang memuncak, fizikal yang begitu bertenaga serta emosi yang bercelaru membuatkan setiap langkah yang diambil perlu difikirkan dengan mendalam. Kesilapan yang dilakukan sewaktu usia remaja akan menghantui masa depan seseorang individu. Justeru itu remaja memerlukan sokongan, dorongan serta bantuan dari semua pihak untuk menjalani kehidupan yang positif, optimis lagi dinamik. Konflik-konflik yang dihadapi oleh remaja merupakan sebahagian dari pengalaman yang akan membentuk identiti sebenar remaja tersebut. Sekiranya seseorang remaja berjaya menangani permasalahan yang dihadapi degan baik dan teratur, kemungkinan besar remaja tersebut menjadi individu yang berjaya adalah tinggi. Konflik-konflik yang dialami oleh remaja dapat dilihat seperti huraian berikut:
Konflik remaja-ibubapa
Konflik antara remaja dan ibu bapa mereka sering berlaku apabila luahan perasaan dari remaja terhadap ibu bapa mereka berlaku dalam suasana yang bercanggah dari segi nilai, sikap dan tingkah laku. Suasana ini wujud disebabkan jurang antara generasi yang wujud antara kedua-dua pihak.
Konflik kasih sayang
Kasih sayang boleh membawa kepada kesan positif jika diperteguhkan dan disokong. Namun begitu, kasih sayang yang berlebihan boleh memberi kesan sampingan yang negatif. Di tahap remaja, konflik kasih sayang wujud apabila mereka merasakan bahawa diri mereka terasing, sendirian dan tidak dikasihi. Remaja akan mula mencari alternatif lain sekiranya mereka tidak mendapat kasih sayang dari ibu bapa dan keluarga.
Konflik kebebasan
Remaja sering merasakan bahawa diri mereka terkongkong dan pergerakan mereka terbatas. Ini kerana maklumat-maklumat yang mereka perolehi banyak mendedahkan mereka kepada sesuatu yang baru dan menyeronokkan, tetapi mereka tidak dapat melakukan perkara-perkara tersebut disebabkan oleh kawalan dari ibu bapa. Ciri-ciri asas kebebasan yang dijadikan rujukan para remaja ialah bebas membuat keputusan dan bertingkah laku, serta bebas dalam sikap, nilai dan ikatan emosi dengan keluarga.
Konflik tanggungjawab
Konflik tanggungjawab wujud apabila ibu atau bapa yang biasanya menguruskan hal ehwal rumahtangga cuba mengawal tingkah laku anak mereka dalam tugasan harian. Bagi remaja, dominasi keluarga menimbulkan kecelaruan. Perasaan ini timbul kerana pada tahap ini remaja lebih inginkan kepada kebebasan sedangkan keluarga memerlukan mereka lebih bertanggungjawab dalam urusan harian.
Konflik rakan-sebaya
Rakan sebaya merupakan orang yang sering mempengaruhi kehidupan para remaja. Seringkali terjadi pertentangan di antara nilai yang dibawa oleh rakan sebaya dengan ibu bapa. Apabila wujud pertentangan, hubungan ibu bapa-remaja akan semakin renggang. Kebiasaannya remaja lebih akur kepada kelompok rakan sebaya berbanding ibu bapa. Ini berlaku kerana mereka inginkan pengiktirafan bagi tingkah laku yang dilakukan.
Konflik emosi dan tingkah laku
Pada tahap ini, emosi individu dikatakan lebih sensitif berbanding sebelumnya. Emosi mereka juga sering terganggu akibat perubahan-perubahan yang berlaku pada tubuh badan dan limpahan hormon yang agak ketara. Justeru itu, ibu bapa sering beranggapan tempoh ini sebagai tempoh merbahaya. Remaja pula berpendapat golongan tua sebagai ketat dan mereka sebagai tenang. Perbezaan pendapat ini seterusnya menghasilkan konflik emosi serta tingkah laku bagi remaja.
Sumber: Ma’rof Redzuan dan Haslinda Abdullah (2002).
No comments:
Post a Comment