Serangan pemikiran tu memang dahsyat dan kesannya amatlah banyak dan mampu merosakkan, menghancurkan umat manusia...
Pengenalan
Pengenalan
Faktor kemajuan
teknologi maklumat dan kemajuan teknologi lain dalam pelbagai bidang telah
merubah imej dunia. Imej umat Islam adalah lebih merupakan peristiwa, tindakan,
tingkahlaku dan cara hidup masyarakat Islam di mana sahaja mereka berada dan
cara pentadbiran kerajaan yang ditadbir oleh orang Islam. Semua ini telah
diberikan tafsiran dan label oleh media barat. Media barat sering mengaitkan
sesuatu yang negatif, agresif, kekerasan, kekejaman, keganasan, kemunduran dan
kemiskinan. Bahkan Malaysia juga pernah dikaitkan sebagai negara yang menyokong
keganasan. Media barat suka melakukan perkara yang tiada asas kebenaran yang
boleh menimbulkan emosi pihak yang menjadi sasarannya.
Sejak zaman era
Perang Salib lagi umat Islam telah menjadi tumpuan pihak barat untuk menjajah
serta menguasai umat Islam dalam pelbagai aspek seperti agama, politik,
ekonomi, dan sosial. Seperti yang telah berlaku pada zaman Nabi Muhammad S.a.w.
mereka menjajah Islam melalui cara peperangan dengan cuba menentang umat Islam
habis-habisan. Berbeza dengan zaman moden kini, umat Islam tanpa disedari telah
diancam oleh pihak barat melalui cara yang halus. Melalui kemodenan yang ada
pada abad ini, mereka cuba untuk merealisasikan impian mereka iaitu menjajah
serta menguasai umat Islam sepenuhnya. Ekoran daripada itu, munculnya
ideologi-ideologi baru yang telah diperkenalkan oleh pihak barat bertujuan
untuk meracuni pemikiran umat Islam. Hal ini adalah rentetan daripada peristiwa
Perang Salib yang mana pada akhirnya tentera Islam dapat menewaskan tentera
Salib. Mereka mendapat jalan penyelesaian untuk terus menguasai umat Islam
iaitu melalui pemikiran serta psikologi umat Islam. Antara ideologi-ideologi
yang telah menular masuk ke dalam pemikiran masyarakat Islam kini adalah
seperti sekularisme, liberalisme, sosialisme dan hedonisme. Demi menjaga masa
hadapan Islam, masyarakat perlu untuk menangkis segala ideologi barat yang
telah diserap masuk ke dalam pemikiran umat Islam. Ini adalah kerana asas
kepada pembangunan tamadun manusia yang hakiki adalah bermula daripada cara
hidup yang dianjurkan oleh Islam dan hanya Islam yang mampu untuk memakmurkan
dunia ini dengan sebaik-baiknya.
Kemunculan Ekstremis
Ekstremis merujuk kepada golongan-golongan pelampau agama
yang datang untuk mengkucar kacirkan masyarakat Islam. Golongan ekstremis ini
mempunyai pelbagai nama, dikuasai dan bernaung di bawah perancangan yang
diaturkan di peringkat antarabangsa yang berpusat di negara-negara maju.
Gerakan ektremis ini sebenarnya adalah salah satu perancangan penjajah. Mereka
mempunyai pelbagai cara untuk melemahkan dan menghancurkan Islam dengan cara
mengelirukan akidah umat Islam dengan menggunakan ulama palsu. Golongan ini
disokong oleh kuasa-kuasa asing. Setiap aktiviti gerakan ini bersesuaian dengan
kehendak kuasa asing yang berkeyakinan bahawa golongan ini dapat memainkan
peranan mereka yang menggantikan penjajahan ketenteraan mereka ke atas
negara-negara Islam.Jelas sekali, kuasa-kuasa asing sedia membantu golongan ini
serta memberikan segala bentuk sumbangan untuk memenuhi hasrat dan muslihat
mereka untuk jangka masa panjang.
Allah s.w.t. mengingatkan kita agar bersederhana dan
menjauhi sikap ektrem (melampau). Sebagaimana dalam firman Allah dalam surah
al-Baqarah, ayat 143 :
y7Ï9ºxx.ur öNä3»oYù=yèy_ Zp¨Bé&
$VÜyur
Maksudnya : “Dan demikian
pula kami telah menjadikan kamu (Umat Islam), umat yang adil.”
Islam Alaf Baru
Pada zaman ini,
kita dapat menyaksikan perkara-perkara yang tidak dapat disaksikan oleh
generasi sahabat Nabi dahulu. Generasi sahabat hanya berpandukan perkhabaran
dari Rasulullah s.a.w. Mereka beriman dengan risalah Islam dan sanggup
berhadapan dengan pelbagai cabaran sama ada dalaman ataupun luaran. Allah s.w.t.
telah menzahirkan agama Islam ini ke atas agama-agama yang lain, bermula dari
tanah Mekah, bumi yang kering kontang sehinggalah menjalar ke benua-benua yang
lain. Perkembangan ini berlaku dalam jangka masa beberapa kurun semenjak zaman
Rasulullah s.a.w. sehinggalah zaman khilafah-khilafah Islam kemudiannya dengan
munculnya satu tamadun yang istimewa. Tamadun ini dibina dengan syakhsiah insan
secara ruhi iaitu ilmu yang berdasarkan kepada iman dan pembangunan jasmani
atau material yang mengikut perkiraan kepentingan dan kesempurnaan hidup
untuk sampai kepada matlamat yang diimpikan di dunia ini untuk mengabdikan diri
kepada Allah serta menunaikan tanggungjawab khilafah dan amanah. Firman Allah s.w.t.
:
$tBur àMø)n=yz
£`Ågø:$# }§RM}$#ur wÎ)
Èbrßç7÷èuÏ9
ÇÎÏÈ
Dan (ingatlah) Aku tidak
menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat
kepadaKu.
Namun begitu,
risalah Islam yang disampaikan oleh Nabi dan para sahabat tidak difahami dan
ditentang oleh golongan intelektual dan orientalis yang merupakan mangsa
serangan pemikiran barat. Mereka yang menyeru kepada fahaman-fahaman barat
inilah yang meletakkan umat Islam dalam keadaan terhina dan mundur.
Disebabkan itu, muncullah satu fahaman baru
iaitu neo-kolonialisme yang agak asing dari Islam. Sebagai contoh istilah
globalisasi yang mana bermula apabila Amerika Syarikat mendakwa negara mereka sebagai
sebuah negara besar tunggal dunia dan seluruh negara dunia harus berdiri satu
barisan di belakangnya untuk menguasai dunia lain terutamanya dunia Islam. Penguasaan
Amerika Syarikat dalam bidang teknologi moden digunakan sepenuhnya untuk
menguasai dunia sama ada dari sudut politik, ketenteraan, ekonomi, kebudayaan,
dan kemasyarakatan
Aspek-aspek Penjajahan
Barat
Aspek budaya dan pemikiran dan segala yang berhubungkait
dengannya sama ada pendidikan, pengajian dan media adalah merupakan alat-alat
serangan yang penting untuk menghapuskan kekuatan jihad serta penentangan
terhadap musuh barat yang datang membawa syiar globalisasi dan pemodenan.
Langkah-langkah yang telah mereka ambil ialah dengan menyelewengkan tasawwur
Islam serta mencipta beberapa slogan yang membawa panji-panji Islam tetapi
sebenarnya tidak menepati cirri-ciri yang sebenar seperti aspek jihad yang
merupakan kemuncak amal ibadat dalam Islam yang cuba dihapuskan. Mereka juga
turut menentang dengan pelbagai perkara negatif dan memulaukan negara yang
ingin melaksanakan Islam dari pelbagai sudut seperti:
1 ) Penjajahan Ekonomi
Bagi masyarakat
yang ekonominya hanya bergantung kepada bantuan negara maju, mereka cuba untuk
melepaskan diri daripada pergantungan bantuan luar. Mereka tidak dapat
menggambarkan diri mereka sebagai sebuah masyarakat yang kaya, dan bebas
ekonominya. Alternatif masa hadapan hanya dapat dicapai jika sekiranya
langkah-langkah pragmatik ke arah alternatif tersebut diambil pada masa kini.
Kita perlu mempunyai pengetahuan tentang beberapa pilihan lain yang ada sebelum
masa hadapan tiba. Dengan pengetahuan yang kita ada tentang masa hadapan, kita
akan dapat mengatur langkah yang wajar untuk merealisasikan segala impian. Setiap
negara Islam tidak boleh lari daripada pergantungan negara luar. Sebagai
contoh, inflasi yang berlarutan, kekurangan dan kenaikan harga bahan mentah
yang diimport serta keruntuhan sosial yang dibawa oleh teknologi.
2) Penjajahan Minda dan Agama
Generasi
sekarang berfikir dan menyelesaikan masalah dengan cara tradisi intelektual
barat. Cara berfikir yang semata-mata mengikut istilah “sebab-akibat” kini
tidak lagi mencukupi dalam situasi kini. Contohnya, sekularisme yang dibawa
oleh barat yang merupakan satu jalan untuk melemahkan umat Islam dan seterusnya
mengenepikan aspek keagamaan. Selain itu, istilah liberalisme juga mempunyai
tujuan yang sama diperkenalkan iaitu untuk mencampur adukkan antara akal dan
agama.
3) Penjajahan Politik
Penjajahan politik
juga merupakan salah satu cara daripada penguasaan kuasa terhadap masyarakat
Islam. Liberalisme politik adalah aliran
di mana seseorang itu berasaskan undang-undang dan masyarakat. Masyarakat dan
institusi-institusi kerajaan yang wujud di dalam masyarakat berfungsi untuk
memperjuangkan hak-hak peribadi tanpa memilih kasih kepada sesiapa yang mempunyai
taraf sosial yang tinggi. Liberalisme politik menekankan perjanjian sosial yang
mana rakyat merangka undang-undang dan bersetuju untuk mematuhi undang-undang
tersebut. Ini adalah berdasarkan pemikiran di mana seseorang itu lebih
mengetahui apa yang terbaik untuk dirinya. Liberalisme politik mengandungi
semua lapisan masyarakat tanpa mengira jantina, kaum atau taraf ekonomi.
Liberalisme politik juga menekankan kedaulatan undang-undang dan demokrasi
liberal. Liberalisme mula mengalami perubahan mendadak dengan membentuk
pendapat yang menyatakan bahawa manusia bebas boleh membentuk asas masyarakat
yang stabil.
4) Penjajahan Sosial
Seperti
yang kita dapat lihat sekarang, pelbagai unsur kemodenan telah pun di
aplikasikan di dalam kehidupan masyarakat. Sebagai contoh, industri hiburan
kini telah mempamerkan budaya-budaya barat yang tidak sewajarnya dipamerkan. Dalam
aspek bahasa pula, Bahasa Inggeris dilihat sebagai satu bahasa global yang
telah menghimpit bahasa-bahasa minoriti di seluruh dunia ke ambang kepupusan.
Selain itu, aspek pendidikan tidak lagi mementingkan ilmu bahkan di
komersialkan untuk mencari nafkah. Kreativiti dan kebebasan pemikiran kritis dalam
dunia pendidikan semakin tergugat berikutan pengenalan birokrasi melalui sistem
piawaian.
Hujah untuk Menolak Ideologi-ideologi
Barat dan Cara Penyelesaiannya
Akal fikiran merupakan satu unsur yang penting bagi
manusia. Peranan akal yang telah dianugerahkan ini sangatlah besar. Akal bukan
sahaja digunakan untuk kepentingan mencari ilmu tetapi untuk melihat kebenaran.
Islam sangat menggalakkan umatnya untuk menggunakan akal demi untuk mencari
kebenaran. Di dalam Al-Quran banyak ayat-ayat yang diakhiri dengan
bentuk-bentuk pertanyaan Allah kepada manusia seperti, “Tidakkah kamu
menggunakan akal” dan “Tidakkah kamu memikirkan”. Sebenarnya di dalam
Al-Quran itu sendiri terkandung ilmu sains dan teknologi yang hanya menunggu
untuk dikaji dan dikembangkan oleh mereka yang memahami dan mengamalkannya.
Sekiranya diteliti, Al-Quran itu adalah sumber ilmu pengetahuan dan sumber yang
terpenting. Jika tidak, mutiara Al-Quran
itu tidak akan menyerlah dan memancarkan cahayanya untuk menyinari kehidupan
manusia. Sebagai umat Islam yang bijak, tidak seharusnya agama itu dilihat
hanya sebagai ibadat sahaja, tetapi ia perlu dilihat dari perspektif yang lebih
luas dan menyeluruh. Hubungan manusia bukan hanya terhad dengan Allah sahaja,
tetapi juga dengan manusia lain dan alam disekelilingnya.
Justeru itu, kita wajib percaya kepada Allah dan keimanan
sahaja yang akan menjanjikan kebangkitan Islam. Ini adalah kerana qada dan
qadar kita telah pun ditetapkan oleh Allah s.w.t. Kita sepatutnya memberi
perhatian untuk mengerjakan solat yang khusyuk, berpuasa dan mengeluarkan zakat
demi menjamin keselamatan hidup kita pada hari akhirat. Sebagai contoh,
kehidupan nabi Muhammad s.a.w adalah satu tindakan yang berorientasikan masa
hadapan. Penghijrahan dari Makkah ke Madinah adalah berdasarkan jangkaan bahawa
ia akan membawa masa hadapan yang lebih cemerlang bagi umat Islam yang sedikit
pada waktu itu, ianya dirancang terlebih dahulu dan perjalanan penghijrahan itu
dikenal pasti dengan sistematik. Apabila nabi s.a.w menjangka bahawa kaum
Quraisy akan menentang, baginda telah menandatangani Perjanjian Hudaibiah
walaupun ditentang oleh para sahabat kerana baginda telah menyangkakan
manfaatnya pada masa hadapan. Beberapa bulan sebelum berlaku peperangan,
baginda telah menjangkakan konflik akan berlaku lalu baginda menggali parit di
sekeliling kota Madinah untuk mempertahankannya. Setelah itu, nabi s.a.w telah
memaafkan musuh-musuh baginda dengan keyakinan bahawa tindakannya itu akan
mewujudkan pemimpin umat Islam masa hadapan. Oleh itu, dasar Islam adalah
berdasarkan cara berfikir dan cara yang berorientasikan masa hadapan.
Antara langkah–langkah yang dapat disalurkan pada negara
Islam agar bebas dari pemikiran penjajah adalah dengan membebaskan diri kita
daripada pemikiran sekular agar kita dapat kembali kepada agama yang sempurna,
begitu juga akidah yang bebas dari syirik sama ada dalam perkara ibadah,
syariah dan akhlak. Selain daripada itu, negara-negara Islam mestilah
bekerjasama dengan mengambil sepenuhya faedah dan peluang yang kita dapat untuk
kegunaan negara dan juga umat. Negara Islam dikurniakan dengan hasil
semulajadinya dari muka bumi yang subur dengan hasil pertanian dan galian yang
berharga mampu untuk menampung keperluan semasa. Apa yang penting, kita
gunakannya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negara-negara Islam
itu sendiri dan memupuk semangat persaudaraan Islam di kalangan mereka dan
menjadi kewajipan dakwah manusia itu sendiri mengajak mereka kepada agama Islam
dalam semua keadaan dan tempat untuk menegakkan Islam supaya ianya mengatasi
agama-agama-lain.
Istilah-istilah Ideologi-ideologi
Barat
Antara istilah-istilah yang
di perkenalkan oleh barat adalah seperti :
1. Sekularisme – Merujuk
kepada peraturan yang terdiri daripada dasar dan perlaksanaan-perlaksanaan yang
mengenepikan setiap bentuk keimanan agama.
2. Liberalisme – Merujuk
kepada falsafah yang meletakkan kebebasan individu sebagai nilai politik
tertinggi. Liberalisme menekankan hak-hak peribadi serta kesamarataan peluang.
3. Sosialisme – Merupakan teori
atau sistem organisasi sosial dan ekonomi di mana salah satu ciri utamanya
adalah sumber kekayaan negara dinikmati bersama oleh seluruh rakyat secara sama
rata.
4. Modenisme – Merujuk
kepada kepercayaan yang melebihkan aspek keduniaan berbanding dengan aspek
ketuhanan.
Penutup
Untuk akhirnya, disini dapat disimpulkan bahawa
masyarakat barat sememangnya tidak akan berpuas hati serta berdiam diri selagi
mana masyarakat Islam tidak jatuh ke tangan mereka. Hal ini tidaklah memfokuskan
kepada sesetengah aspek sahaja, bahkan mereka ingin menguasai masyarakat Islam
secara menyeluruh sama ada dari aspek pemikiran, sosiopolitik dan ekonomi.
Mereka tidak hanya menumpukan sasaran mereka kepada golongan-golongan yang kurang
berpengatahuan, akan tetapi menjadikan sebahagian daripada golongan cendikiawan
Islam sebagai penyumbang dalam menyampaikan aliran-aliran mereka. Islam
mengajar penganutnya supaya mengimbangi kehidupan di dunia dan di akhirat
dengan sewajarnya. Di samping menganjurkan umatnya supaya memperbanyakkan amal
sebagai bekalan di akhirat, Islam juga tidak melarang umatnya mencari
kesejahteraan hidup di dunia. Cuma kaedah-kaedah yang disarankan oleh Islam
yang membezakannya daripada sistem-sistem ciptaan manusia yang lain. Sistem Islam
itu adalah adil untuk semua sama ada untuk orang Islam ataupun bukan Islam.
Oleh itu, untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi
ini ialah dengan merealisasikan kaedah-kaedah tersebut sama ada di peringkat
individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Sebagai tambahan: Kesan
penjajahan pemikiran
- Merosakkan akhlak umat Islam. Menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan perkara yang dihalalkan oleh Allah. Contoh : Bermuamalat dengan riba, zina, meminum arak dan sebagainya.
- Menjauhkan ulamak dari memimpin masyarakat dan teraju politik. Tidak mencebur diri dalam masalah politik dan sosial. Tidak mampu untuk membimbing umat dalam bidang politik.
- Berlakunya krisis identiti di kalangan remaja. Remaja menjadi bingung dan kabur tentang tugas dan peranan. Akibatnya: berlakulah percampuran identiti dimana lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya.
- Umat Islam menjadi kabur dan buta. Untuk membezakan kebaikan dan kemungkaran kerana mengejar kemewahan hidup.
- Masa depan yang akan dihadapi oleh umat Islam di dunia ini adalah terletak di atas bahu negara-negara Islam itu sendiri.
- Manusia tidak boleh bergantung kepada akal fikiran semata-mata tanpa panduan daripada wahyu Allah.
- Masa sekarang sebagai penentu masa hadapan.
Rujukan
- Dr. Muhammad
Al-Bahi(1986), Penentangan Islam Terhadap Aliran Pemikiran Perosak, Kuala
Lumpur : Penerbitan Hizbi.
- Haji Abdul Hadi
Awang(t.t), Globalisasi – Pendirian Islam Mengenainya, Kuala
Terengganu : Unit Penerbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu.
- Khairul Azhar
Idris(1996), Kontemporari Islam, Kuala Lumpur : Institut Kefahaman
Islam Malaysia (IKIM).
- Lim Kim Hui, Har Wai
Mun(2007), Globalisasi, Media dan Budaya-Antara Hegemoni Barat Dengan
Kebangkitan Asia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Mohd Siden Ahmad
Ishak(1990), Masa Hadapan Islam-Bentuk Idea yang Akan Datang, Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Mohd Yuswandi Abd.
Majid, Siti Suhafzan SH Ibrahim(2007), Islam Dalam Era Globalisasi, Kuala
Lumpur : Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Note: Artikel ini adalah hasil penulisan (tugasan) saya ketika mengambil kursus Ideologi-ideologi Moden dalam menyempurnakan ijazah pertama saya.
good
ReplyDelete