Labels

Thursday, September 13, 2012

Angka 5 Dalam ISLAM

Angka 5 banyak sekali dikaitkan dengan amalan dan peristiwa di dalam Islam. Antaranya:
1)      5 waktu solat fardhu sehari dan semalam yang wajib didirikan oleh setiap individu Muslim:
a.      Subuh
b.      Zuhur
c.       Asar
d.      Maghrib
e.       Isyak

2)      5 Rukun Islam, iaitu:
a.      Mengucap dua kalimah syahadah
b.      Solat 5 waktu sehari semalam
c.       Berpuasa di bulan Ramadhan
d.      Mengeluarkan zakat
e.      Mengerjakan haji diBaitullah

3)      5 hukum syariah islamiyah, iaitu:
a.      Wajib
b.      Haram
c.       Sunat
d.      Makruh
e.      Mubah (Harus)

4)      5 dosa besar yang dirakamkan di dalam Al-Quran:
a.      Syirik kepada Allah
b.      Membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang hak.
c.       Memakan Riba
d.      Memakan harta anak-anak yatim
e.      Menuduh wanita-wanita baik, terpelihara kehormatan lagi terpelihara keimanannya melakukan zina.

5)      5 perkara yang menyebabkan seseorang itu tercebur di dalam munafik tulen:
a.      Suka bercakap dusta (bohong)
b.      Bila memegang amanah, dia khianat
c.       Bila berjanji atau bersumpah, dia selalu mungkiri
d.      Berpaling dari medan perang
e.      Apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran (menegakkan benang basah)


6)      Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara:
a.      Pertama: Masa sihat sebelum sakit
b.      Kedua: Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin)
c.       Ketiga: Masa lapang sebelum tiba masa sibuk
d.      Keempat: Masa mudamu sebelum datang masa tua
e.      Kelima: Masa hidup sebelum tiba mati (H.R al-Hakim& al-Baihaqi)

7)      5 perkara yang wajib disegerakan
Dari Hatim al-Asam: ‘Terburu-buru itu termasuk sifat syaitan, kecuali pada lima tempat’, maka ia turut termasuk dalam sunnah Rasulullah SAW:
a.      Pertama: Apabila rumahmu dikunjungi oleh para tetamu, WAJIBlah kamu sebagai tuan rumah untuk memberi mereka makan.
b.      Kedua: Apabila ada berita kematian atau seseorang meninggal dunia, WAJIBlah bagi kamu untuk menyiapkan perkuburan bagi mayat tersebut.
c.       Ketiga: Apabila seseorang anak gadismu telah cukup umur dan matang, WAJIBlah bagi kamu mengahwinkannya.
d.      Keempat: Apabila kamu berhutang dengan sesiapa yakni Allah SWT sekalipun, WAJIBlah bagi kamu untuk membayarnya kembali tatkala sampai masanya.
e.      Kelima: Apabila pelbagai kesalahan dan dosa telah dilakukan kepada Allah SWT, WAJIBlah bagi dirimu untuk segera bertaubat dan memohon keampunan daripada-NYA.

8)      5 Perang Besar di zaman Rasulullah SAW
Sepanjang hayat Rasulullah SAW, terdapat lima peperangan besar yang amat penting di dalam pengembangan agama Islam selain gerakan-gerakan ekspedisi yang kecil-kecilan.
Perang-perang tersebut telah mencetus dan memangkinkan penyebaran agama Islam ke seluruh jazirah Arab hinggalah terbentuk sebuah negara Islam yang berdaulat dan diiktiraf oleh seluruh dunia.
Di dalam peperangan tersebut Rasulullah SAW pernah sekali tewas dan selebihnya memenangi peperangan itu.
Peperangan tersebut ialah:
a.      Perang Badar
b.      Perang Uhud
c.       Perang Khandak
d.      Perang Muktah
e.      Perang Hunain

9)      5 orang Nabi Bertaraf Ulul Azmi
Ulul Azmi ialah gelaran yang diberikan kepada rasul-rasul Allah yang memiliki kedudukan tinggi/istimewa kerana ketabahan yang luar biasa, dalam menyampaikan risalah agama Allah SWT.
Di antara 25 rasul, terdapat 5 orang rasul yang dianugerahkan dengan gelaran Ulul Azmi:
a.      Nabi Nuh a.s.
b.      Nabi Ibrahim a.s.
c.       Nabi Musa a.s.
d.      Nabi Isa a.s.
e.      Nabi Muhammad SAW

10)  5 sebab digelar Ulul Azmi
a.      Mendapat pengiktirafan Allah SWT.
b.      Memiliki kesabaran yang tinggi semasa berdakwah
c.       Sentiasa memohon kepada Allah SWT supaya kaum mereka tidak diturunkan azab.
d.      Sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya memberi hidayah kepada kaum mereka.
e.      Memiliki keazaman (tekad) yang tinggi, kuat dan kental semasa berdakwah.

Note: sekadar perkongsian... :-) walaupun dah tahu, tak mengapa... ILMU itu tetap mengalir...

Wednesday, September 5, 2012

Wasiat Nabi Junjungan kpd Saidina Ali R.A

Wahai ALi... 

Bagi orang MUKMIN ada 3 tanda2nya: 

1) Tidak terpaut hatinya pd harta benda dunia 

2) Tidak terpesona dgn pujuk rayu wanita 

3) Benci terhadap perbuatan dan perkataan sia2 

Bagi orang ALIM ada 3 tanda2nya: 

1) Jujur dalam berkata2 

2) Menjauhi segala yg haram 

3) Merendahkan diri 

Bagi orang yg berTAQWA itu ada 3 tanda2nya: 

1) Takut berlaku dusta dan keji 

2) Menjauhi kejahatan 

3) Memohon yg halal krn takut jatuh dlm keharaman 

Bagi orang yang JUJUR itu ada 3 tanda2nya: 

1) Merahsiakan ibadahnya 

2) Merahsiakan sedekahnya 

3) Merahsiakan ujian yang menimpanya 

Bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda-tandanya: 

1) Mengawasi dirinya 

2) Menghisab dirinya 

3) Memperbanyakkan ibadaH kepada ALLAH s.w.t

Monday, July 23, 2012

Aduhai 4 orang isteriku


Al-kisah.....
SUATU ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. Dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedagang tidak begitu mencintainya.

Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu mempedulikannya.

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, “Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri.”

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, “Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?” Isteri keempatnya terdiam. “Tentu saja tidak!” Jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.

Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, “Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?” Isteri ketiganya menjawab, “Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati“. Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, “Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku?” Si isteri kedua menjawab perlahan, “Maafkan aku, aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu.”

Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, “Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu.”

Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, “Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku.”

Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini ;

ISTERI KEEMPAT - adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.

ISTERI KETIGA - adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

ISTERI KEDUA - adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita.

DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA - adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak.

Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari.

<Sabar & Syukur> <Mahu & Mohon> <Takdir & Tawakal> 

:-)

Ilmu, Akal adalah tunjang Ibadah

Perlaksanaan rukun Islam tidak akan terlaksana tanpa ilmu dan akal. Islam sangat menjaga akal kerana tanpanya manusia akan menjadi sehina binatang. Demi menjaga akal Islam mengharamkan segala yang merosakkan seperti arak dan dadah.

Betapa serius aspek penjagaan akal sehingga mereka yang melanggar larangan ini seperti minum arak akan dihukum dengan sebatan 40 rotan ataupun lebih. Antara golongan yang dipuji dalam al-Quran ialah mereka yang berakal, diberi gelaran dengan nama ‘ulul-albab’ berdasarkan firman Allah dalam surah Ali-Imran (190) yang bermaksud: “Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi dan bergantinya siang dan malam menjadi tanda kebesaran Allah bagi ulul-albab.”

Menurut Syed Hawa, ulul albab bererti orang yang menggunakan akal. Dengan melaksanakan rukun Islam yang lima, ia mendidik umat mengenai kepentingan akal dan ilmu seperti pada awal Islam dilarang bersolat dalam keadaan mabuk kerana ia mengganggu pemikiran manakala suatu ibadah tidak sah jika dilakukan tanpa ilmu. Maknanya seseorang yang ingin melakukan solat mesti ada ilmu dan tahu membezakan antara fardu dan sunat .

Sekiranya tidak tahu sah dan batal, rukun dan syarat serta cara melakukannya solat dianggap tidak sah. Demikian juga dalam ibadah puasa, perkara yang membatalkan puasa wajib diketahui. Begitu juga dalam konteks zakat, ilmu mengenai nisab dan peratus harta yang wajib dikeluarkan mesti diketahui.


Ketika melaksanakan solat berjemaah, imam yang memimpin solat dari kalangan yang berilmu. Sebagai manusia kadangkala imam terlupa sesuatu dalam solat. Islam mengarahkan makmum di belakang menegur dan mengikut susunan saf yang berada di belakang imam, juga mesti berilmu. Nabi bersabda (maksudnya) “Hendaklah mereka yang baligh lagi pandai bersolat dekat denganku.” Kalau imam batal, pengganti imam yang berilmu tadi akan mengambil tempat bukannya si jahil.”

Melalui ibadah yang dilakukan umat Islam mendidik peri pentingnya akal dan ilmu dalam kehidupan. Sesuai dengan sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik agama kamu ialah yang mudah dan sebaik-baik ibadah ialah kefahaman agama.” 

Seorang penulis barat mengatakan empayar Islam boleh bertahan lama kerana dia dibina berasaskan ilmu dan akal. Dalam kitab Ihya ada menyebutkan: “Seseorang yang tidak makan dan minum dalam masa yang lama akan mati, demikian juga dengan hati, apabila tidak diberi ilmu dan hikmah dalam masa tiga hari ia akan mati.”

Ilmu ialah kuasa, dengan kuasa inilah Islam menguasai dunia dan mewarisinya kepada generasi demi generasi. 


Sumber: Tazkirah -Ustaz Mohd Zawawi Yusoh-

Saturday, July 21, 2012

“Hakikat Kerohanian yang Dinisbahkan kepada Saidina Ali”

Riwayat Hidup
Nama penuh beliau adalah Ali Bin Abi Talib Bin Abdul Mutalib. Beliau adalah berketurunan Bani Hasyim dan merupakan salah seorang sepupu Rasulullah s.a.w. Beliau dilahirkan di dalam ka’abah di Mekah pada tahun 601 Masihi iaitu 10 tahun sebelum Rasulullah s.a.w. diutuskan menjadi Rasul. Sejak kecil lagi beliau diasuh dan dididik oleh Rasulullah s.a.w. Beliau berkahwin dengan puteri Rasulullah s.a.w, iaitu Saidatina Fatimah. Beliau hampir dibunuh oleh pemuda kafir Quraisy ketika peristiwa hijrah kerana tidur di katil Rasulullah s.a.w. Beliau mendapat gelaran “karamallahu wajhah” iaitu yang bermaksud orang yang wajahnya dimuliakan Allah, kerana tidak pernah menyembah berhala semenjak beliau dilahirkan. Beliau dilantik menjadi khalifah Islam yang keempat selepas Saidina Uthman pada tahun 35 Hijrah bersamaan 655 Masihi. Beliau sempat memerintah selama empat tahun. Beliau wafat di Kufah pada 17 Ramadhan tahun 41 Hijrah bersamaaan 661 Masihi kerana dibunuh oleh Abdul Rahman Bin Muljam.

Keistimewaan Saidina Ali r.a
  1. Keluarga Rasulullah s.a.w
Mempunyai hubungan rapat dengan baginda iaitu merupakan sepupu dan menantu Rasulullah s.a.w. Sejak kecil beliau tinggal bersama dan dididik oleh Rasulullah s.a.w, kerana itulah beliau banyak mewarisi keperibadian dan akhlak Rasulullah. Beliau amat cinta kepada Rasulullah s.a.w . Ini dapat dibuktikan dengan beliau sentiasa disisi Rasulullah s.a.w sewaktu susah dan senang, semasa perang dan damai serta semasa Rasulullah s.a.w sakit hingga akhir hayat.

  1. Kanak-kanak Pertama yang Memeluk Islam
Beliau merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam ketika berusia 10 tahun. Beliau sangat mentaati Rasulullah s.a.w dan tidak pernah membantahnya. Beliau merupakan salah seorang dari sahabat yang dijamin syurga.

  1. Cendikiawan Ulung
Beliau terkenal dengan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang seperti sastera, ilmu Hisab dan kehakiman sehingga beliau digelar “Gedung Ilmu” oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w melantiknya sebagai jurutulis wahyu dan perjanjian Hudaibiyah.

  1. Pemuda yang berani               
Beliau sanggup tidur di tempat tidur Rasulullah s.a.w pada malam hijrah. Menyertai hampir kesemua peperangan kecuali perang Tabuk dan berada dibarisan hadapan bersama pedangnya 'zul faqar'. Beliau juga menyahut cabaran satu lawan satu dengan pahlawan Quraisy dlm perang Khandak.          

  1. Pemerintah yang adil dan kreatif
Beliau dilantik oleh Rasulullah s.a.w sebagai hakim di Yaman. Kreativiti beliau dalam pentadbiran atau pemerintahannya antaranya:
·         Menubuhkan pasukan polis yang diberi nama "as-Syurtah ".
·         Beliau melengkapkan angkatan berkuda Islam.
·         Menubuhkan pasukan tentera berjalan kaki.
·         Menubuhkan badan perisik.

Saidina Ali bukan sahaja seorang sahabat Rasullullah s.a.w serta yang paling dicintai oleh baginda bahkan beliau juga seorang manusia luarbiasa yang memiliki ilmu bagaikan lautan. Kefasihannya yang tiada bandingan sebagai seorang ahli sastera dan pemidato yang masyhur. Beliau seorang pahlawan yang tiada siapa dapat menafikan yang mana beliau merupakan di antara barisan pahlawan-pahlawan terbilang.


Kehidupan Kerohanian Saidina Ali r.a
Beliau telah diberi nama Rabbani Ummah kerana beliau sejak kecil hingga dewasa tidak kafir dan syirik malah beliau tidak melakukan amalan jahiliyyah bahkan beliau hanya mengetahui kebaikan sahaja. Beliau merupakan seorang yang faqih dan ahli ibadah serta mengumpulkan al-Quran. Bukti yang mengatakan beliau sedemikian ialah apabila Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar bergantung kepada beliau dalam memutuskan fatwa dan hukum yang penting yang tidak pernah dibincangkan sebelum ini. Beliau berada di tempat pertama dalam kedudukan kesufian syeikh-syeikh yang mulia. Beliau juga merupakan ketua sesebuah kaum yang cinta kepada Allah daripada pandangan mata hati, kecintaan kepada ibadah, cahaya ketaatan, wali yang bertaqwa serta pemimpin yang adil.
Kata-kata Saidina Ali dan pengajarannya dalam ilmu pengetahuan melibatkan dua keadaan yang penting iaitu secara zahir dan secara batin. Rasulullah bersadba: “Aku adalah Rumah Kebijaksanaan dan Ali adalah pintunya.” Diibaratkan yang demikian itu kepada kata-kata Abdullah Bin Mas’ud: “Sesungguhnya al-Quran itu diturunkan di atas tujuh huruf, dan tiada daripadanya huruf kecuali apa yang zahir dan batin, dan sesungguhnya Ali Bin Abi Talib padanya ada ilmu zahir dan batin.” Diibaratkan kepada kata-kata Ali pada sifat kezuhudan yang menyerupai Nabi Isa a.s, hadis Rasulullah s.a.w : “Barangsiapa yang zuhud di dunia: ilmunya kerana Allah ta’ala tanpa ilmu, membimbingnya tanpa bimbingan, melihat dan membuka kebutaan.” Untuk mencapai apa yang dikatakan oleh kebanyakan ahli sufi sesungguhnya Allah memberikan Saidina Ali ilmu laduni iaitu yang terletak pada hati tanpa perantaraan. Abu Qassim al-Junaid berkata: “Allah s.w.t memberkati Saidina Ali, beliau bukan menyibukkan diri untuk berperang tetapi banyak makna pada ilmunya iaitu ilmu laduni. Ilmu laduni merupakan ilmu yang mengkhususkan kepada kemajuan.
Seperti mana yang telah dibincangkan sebelum ini, Saidina Ali dikhususkan oleh kebanyakan sahabat Rasulullah s.a.w dengan sifat-sifat yang baik, kata-kata yang manis, kata-kata dan kenyataan tauhid, pengetahuan dan iman, yang dikaitkan dengan akhlak ahli sufi.
Telah bertanya seorang lelaki kepada Saidina Ali berkenaan iman. Maka Saidina Ali menjawab: “Iman itu atas empat perkara: sabar, yakin, adil dan jihad. Kemudian disifatkan sabar itu kepada sepuluh maqamat. Begitu juga dengan sifat-sifat yang selebihnya (yakin, adil dan jihad) yang disifatkan kesemuanya kepada sepuluh maqamat.”
Menurut Saidina Ali r.a, kebaikan itu terkumpul pada empat perkara: diam, percakapan, pandangan dan pergerakan. Setiap percakapan itu bukan kerana mengingati Allah adalah melalaikan, setiap perbuatan diam bukan digunakan untuk berfikir maka ia merupakan satu kelalaian, setiap pandangan itu jika bukan untuk memberi pengajaran maka ia juga satu kelalaian, dan setiap pergerakan itu bukan untuk beribadah ia merupakan tempoh Allah mengasihi hamba-hamba-Nya. Maka percakapan itu untuk mengingati, diam itu untuk berfikir, pandangan itu merupakan pengajaran, pergerakan itu adalah pengabdian kepada Allah s.w.t dan terselamatlah manusia daripada lisan dan tangannya.
Sahabat telah meriwayatkan tentang Saidina Ali r.a yang menyatakan bahawa beliau adalah seorang yang patuh. Disifatkan kepadanya sebagai seorang yang bertaqwa ataupun mempunyai sifat kezuhudan dan kesufian. Sahabat berkata orang yang bertaqwa: Mereka orang yang mempunyai kelebihan, percakapan mereka benar, pakaian mereka sederhana, kehidupan yang tawadu’, memelihara pandangan mereka daripada apa yang telah diharamkan Allah, mendengar ilmu yang bermanfaat, diturunkan kepadanya ujian tetapi baginya seperti satu kemakmuran, sekalipun apa yang telah ditetapkan Allah kepada mereka tetapi mereka masih merindukan pahala kepada Allah dan takutkan azab-Nya.

Wasiat Saidina Ali bin Abi Talib
Ketika Ali bin Abi Talib ditikam oleh pembunuhnya, beliau berkata: “bagaimanakah keadaan orang yang menikamku itu?” Orang yang hadir menjawabnya: “Sesungguhnya kami sudah menahannya.” Ali kembali berkata: “berilah dia makan dari makananku dan berilah dia minum dari minumanku. Jika umurku masih panjang, maka aku akan membuat perhitungan dengannya, akan tetapi jika aku mati, maka hukumlah dia dengan sekali pancung dan jangan kamu menambahkan pula hukuman untuknya.”
Kemudian beliau berwasiat kepada puteranya Hasan r.a supaya memandikannya dan jangan memakaikan untuknya kain kafan yang mahal. Ali berkata: “sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “janganlah kamu memakaikan kain kafan yang mahal-mahal harganya kerana ia akan cepat hancur.” Di samping itu iringilah mayatku antara dua jalan, jangan terlalu cepat dan jangan pula terlalu lambat, kerana dengan berjalan cepat itu, jika aku beramal baik, maka bererti kamu telah menyegerakan aku kepada kebaikanku itu, dan jika amalku buruk, maka bererti kamu telah melemparkan aku dari bahu kamu kepada keburukanku.”


Rujukan
Kasmuri Selamat (2002), Keinsafan di Penghujung Usia, Selangor: Al-Falah Publications
Muzakkirah “Tasawuf Muqarrin” h: 78-82.

Note: Artikel ini adalah hasil penulisan (tugasan) saya ketika mengambil kursus TASAWWUF PERBANDINGAN dalam menyempurnakan ijazah pertama saya.

Tuesday, July 17, 2012

IDEOLOGI MODEN - Serangan Pemikiran!!

Serangan pemikiran tu memang dahsyat dan kesannya amatlah banyak dan mampu merosakkan, menghancurkan umat manusia...

Pengenalan

Faktor kemajuan teknologi maklumat dan kemajuan teknologi lain dalam pelbagai bidang telah merubah imej dunia. Imej umat Islam adalah lebih merupakan peristiwa, tindakan, tingkahlaku dan cara hidup masyarakat Islam di mana sahaja mereka berada dan cara pentadbiran kerajaan yang ditadbir oleh orang Islam. Semua ini telah diberikan tafsiran dan label oleh media barat. Media barat sering mengaitkan sesuatu yang negatif, agresif, kekerasan, kekejaman, keganasan, kemunduran dan kemiskinan. Bahkan Malaysia juga pernah dikaitkan sebagai negara yang menyokong keganasan. Media barat suka melakukan perkara yang tiada asas kebenaran yang boleh menimbulkan emosi pihak yang menjadi sasarannya.
Sejak zaman era Perang Salib lagi umat Islam telah menjadi tumpuan pihak barat untuk menjajah serta menguasai umat Islam dalam pelbagai aspek seperti agama, politik, ekonomi, dan sosial. Seperti yang telah berlaku pada zaman Nabi Muhammad S.a.w. mereka menjajah Islam melalui cara peperangan dengan cuba menentang umat Islam habis-habisan. Berbeza dengan zaman moden kini, umat Islam tanpa disedari telah diancam oleh pihak barat melalui cara yang halus. Melalui kemodenan yang ada pada abad ini, mereka cuba untuk merealisasikan impian mereka iaitu menjajah serta menguasai umat Islam sepenuhnya. Ekoran daripada itu, munculnya ideologi-ideologi baru yang telah diperkenalkan oleh pihak barat bertujuan untuk meracuni pemikiran umat Islam. Hal ini adalah rentetan daripada peristiwa Perang Salib yang mana pada akhirnya tentera Islam dapat menewaskan tentera Salib. Mereka mendapat jalan penyelesaian untuk terus menguasai umat Islam iaitu melalui pemikiran serta psikologi umat Islam. Antara ideologi-ideologi yang telah menular masuk ke dalam pemikiran masyarakat Islam kini adalah seperti sekularisme, liberalisme, sosialisme dan hedonisme. Demi menjaga masa hadapan Islam, masyarakat perlu untuk menangkis segala ideologi barat yang telah diserap masuk ke dalam pemikiran umat Islam. Ini adalah kerana asas kepada pembangunan tamadun manusia yang hakiki adalah bermula daripada cara hidup yang dianjurkan oleh Islam dan hanya Islam yang mampu untuk memakmurkan dunia ini dengan sebaik-baiknya.      

Kemunculan Ekstremis

            Ekstremis merujuk kepada golongan-golongan pelampau agama yang datang untuk mengkucar kacirkan masyarakat Islam. Golongan ekstremis ini mempunyai pelbagai nama, dikuasai dan bernaung di bawah perancangan yang diaturkan di peringkat antarabangsa yang berpusat di negara-negara maju. Gerakan ektremis ini sebenarnya adalah salah satu perancangan penjajah. Mereka mempunyai pelbagai cara untuk melemahkan dan menghancurkan Islam dengan cara mengelirukan akidah umat Islam dengan menggunakan ulama palsu. Golongan ini disokong oleh kuasa-kuasa asing. Setiap aktiviti gerakan ini bersesuaian dengan kehendak kuasa asing yang berkeyakinan bahawa golongan ini dapat memainkan peranan mereka yang menggantikan penjajahan ketenteraan mereka ke atas negara-negara Islam.Jelas sekali, kuasa-kuasa asing sedia membantu golongan ini serta memberikan segala bentuk sumbangan untuk memenuhi hasrat dan muslihat mereka untuk jangka masa panjang. 

            Allah s.w.t. mengingatkan kita agar bersederhana dan menjauhi sikap ektrem (melampau). Sebagaimana dalam firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 143 :
y7Ï9ºxx.ur öNä3»oYù=yèy_ Zp¨Bé& $VÜyur 
Maksudnya : “Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu (Umat Islam), umat yang adil.”

Islam Alaf Baru
Pada zaman ini, kita dapat menyaksikan perkara-perkara yang tidak dapat disaksikan oleh generasi sahabat Nabi dahulu. Generasi sahabat hanya berpandukan perkhabaran dari Rasulullah s.a.w. Mereka beriman dengan risalah Islam dan sanggup berhadapan dengan pelbagai cabaran sama ada dalaman ataupun luaran. Allah s.w.t. telah menzahirkan agama Islam ini ke atas agama-agama yang lain, bermula dari tanah Mekah, bumi yang kering kontang sehinggalah menjalar ke benua-benua yang lain. Perkembangan ini berlaku dalam jangka masa beberapa kurun semenjak zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah zaman khilafah-khilafah Islam kemudiannya dengan munculnya satu tamadun yang istimewa. Tamadun ini dibina dengan syakhsiah insan secara ruhi iaitu ilmu yang berdasarkan kepada iman dan pembangunan jasmani atau material yang mengikut perkiraan kepentingan dan kesempurnaan hidup untuk sampai kepada matlamat yang diimpikan di dunia ini untuk mengabdikan diri kepada Allah serta menunaikan tanggungjawab khilafah dan amanah. Firman Allah s.w.t. :

$tBur àMø)n=yz £`Ågø:$# }§RM}$#ur žwÎ) Èbrßç7÷èuÏ9 ÇÎÏÈ  
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Namun begitu, risalah Islam yang disampaikan oleh Nabi dan para sahabat tidak difahami dan ditentang oleh golongan intelektual dan orientalis yang merupakan mangsa serangan pemikiran barat. Mereka yang menyeru kepada fahaman-fahaman barat inilah yang meletakkan umat Islam dalam keadaan terhina dan mundur.

                Disebabkan itu, muncullah satu fahaman baru iaitu neo-kolonialisme yang agak asing dari Islam. Sebagai contoh istilah globalisasi yang mana bermula apabila Amerika Syarikat mendakwa negara mereka sebagai sebuah negara besar tunggal dunia dan seluruh negara dunia harus berdiri satu barisan di belakangnya untuk menguasai dunia lain terutamanya dunia Islam. Penguasaan Amerika Syarikat dalam bidang teknologi moden digunakan sepenuhnya untuk menguasai dunia sama ada dari sudut politik, ketenteraan, ekonomi, kebudayaan, dan kemasyarakatan

Aspek-aspek Penjajahan Barat

            Aspek budaya dan pemikiran dan segala yang berhubungkait dengannya sama ada pendidikan, pengajian dan media adalah merupakan alat-alat serangan yang penting untuk menghapuskan kekuatan jihad serta penentangan terhadap musuh barat yang datang membawa syiar globalisasi dan pemodenan. Langkah-langkah yang telah mereka ambil ialah dengan menyelewengkan tasawwur Islam serta mencipta beberapa slogan yang membawa panji-panji Islam tetapi sebenarnya tidak menepati cirri-ciri yang sebenar seperti aspek jihad yang merupakan kemuncak amal ibadat dalam Islam yang cuba dihapuskan. Mereka juga turut menentang dengan pelbagai perkara negatif dan memulaukan negara yang ingin melaksanakan Islam dari pelbagai sudut seperti:

1 ) Penjajahan Ekonomi
Bagi masyarakat yang ekonominya hanya bergantung kepada bantuan negara maju, mereka cuba untuk melepaskan diri daripada pergantungan bantuan luar. Mereka tidak dapat menggambarkan diri mereka sebagai sebuah masyarakat yang kaya, dan bebas ekonominya. Alternatif masa hadapan hanya dapat dicapai jika sekiranya langkah-langkah pragmatik ke arah alternatif tersebut diambil pada masa kini. Kita perlu mempunyai pengetahuan tentang beberapa pilihan lain yang ada sebelum masa hadapan tiba. Dengan pengetahuan yang kita ada tentang masa hadapan, kita akan dapat mengatur langkah yang wajar untuk merealisasikan segala impian. Setiap negara Islam tidak boleh lari daripada pergantungan negara luar. Sebagai contoh, inflasi yang berlarutan, kekurangan dan kenaikan harga bahan mentah yang diimport serta keruntuhan sosial yang dibawa oleh teknologi.

2)  Penjajahan Minda dan Agama
Generasi sekarang berfikir dan menyelesaikan masalah dengan cara tradisi intelektual barat. Cara berfikir yang semata-mata mengikut istilah “sebab-akibat” kini tidak lagi mencukupi dalam situasi kini. Contohnya, sekularisme yang dibawa oleh barat yang merupakan satu jalan untuk melemahkan umat Islam dan seterusnya mengenepikan aspek keagamaan. Selain itu, istilah liberalisme juga mempunyai tujuan yang sama diperkenalkan iaitu untuk mencampur adukkan antara akal dan agama.

3) Penjajahan Politik
Penjajahan politik juga merupakan salah satu cara daripada penguasaan kuasa terhadap masyarakat Islam.  Liberalisme politik adalah aliran di mana seseorang itu berasaskan undang-undang dan masyarakat. Masyarakat dan institusi-institusi kerajaan yang wujud di dalam masyarakat berfungsi untuk memperjuangkan hak-hak peribadi tanpa memilih kasih kepada sesiapa yang mempunyai taraf sosial yang tinggi. Liberalisme politik menekankan perjanjian sosial yang mana rakyat merangka undang-undang dan bersetuju untuk mematuhi undang-undang tersebut. Ini adalah berdasarkan pemikiran di mana seseorang itu lebih mengetahui apa yang terbaik untuk dirinya. Liberalisme politik mengandungi semua lapisan masyarakat tanpa mengira jantina, kaum atau taraf ekonomi. Liberalisme politik juga menekankan kedaulatan undang-undang dan demokrasi liberal. Liberalisme mula mengalami perubahan mendadak dengan membentuk pendapat yang menyatakan bahawa manusia bebas boleh membentuk asas masyarakat yang stabil.

4) Penjajahan Sosial
            Seperti yang kita dapat lihat sekarang, pelbagai unsur kemodenan telah pun di aplikasikan di dalam kehidupan masyarakat. Sebagai contoh, industri hiburan kini telah mempamerkan budaya-budaya barat yang tidak sewajarnya dipamerkan. Dalam aspek bahasa pula, Bahasa Inggeris dilihat sebagai satu bahasa global yang telah menghimpit bahasa-bahasa minoriti di seluruh dunia ke ambang kepupusan. Selain itu, aspek pendidikan tidak lagi mementingkan ilmu bahkan di komersialkan untuk mencari nafkah. Kreativiti dan kebebasan pemikiran kritis dalam dunia pendidikan semakin tergugat berikutan pengenalan birokrasi melalui sistem piawaian.

Hujah untuk Menolak Ideologi-ideologi Barat dan Cara Penyelesaiannya

            Akal fikiran merupakan satu unsur yang penting bagi manusia. Peranan akal yang telah dianugerahkan ini sangatlah besar. Akal bukan sahaja digunakan untuk kepentingan mencari ilmu tetapi untuk melihat kebenaran. Islam sangat menggalakkan umatnya untuk menggunakan akal demi untuk mencari kebenaran. Di dalam Al-Quran banyak ayat-ayat yang diakhiri dengan bentuk-bentuk pertanyaan Allah kepada manusia seperti, “Tidakkah kamu menggunakan akal” dan “Tidakkah kamu memikirkan”. Sebenarnya di dalam Al-Quran itu sendiri terkandung ilmu sains dan teknologi yang hanya menunggu untuk dikaji dan dikembangkan oleh mereka yang memahami dan mengamalkannya. Sekiranya diteliti, Al-Quran itu adalah sumber ilmu pengetahuan dan sumber yang terpenting.  Jika tidak, mutiara Al-Quran itu tidak akan menyerlah dan memancarkan cahayanya untuk menyinari kehidupan manusia. Sebagai umat Islam yang bijak, tidak seharusnya agama itu dilihat hanya sebagai ibadat sahaja, tetapi ia perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas dan menyeluruh. Hubungan manusia bukan hanya terhad dengan Allah sahaja, tetapi juga dengan manusia lain dan alam disekelilingnya.

            Justeru itu, kita wajib percaya kepada Allah dan keimanan sahaja yang akan menjanjikan kebangkitan Islam. Ini adalah kerana qada dan qadar kita telah pun ditetapkan oleh Allah s.w.t. Kita sepatutnya memberi perhatian untuk mengerjakan solat yang khusyuk, berpuasa dan mengeluarkan zakat demi menjamin keselamatan hidup kita pada hari akhirat. Sebagai contoh, kehidupan nabi Muhammad s.a.w adalah satu tindakan yang berorientasikan masa hadapan. Penghijrahan dari Makkah ke Madinah adalah berdasarkan jangkaan bahawa ia akan membawa masa hadapan yang lebih cemerlang bagi umat Islam yang sedikit pada waktu itu, ianya dirancang terlebih dahulu dan perjalanan penghijrahan itu dikenal pasti dengan sistematik. Apabila nabi s.a.w menjangka bahawa kaum Quraisy akan menentang, baginda telah menandatangani Perjanjian Hudaibiah walaupun ditentang oleh para sahabat kerana baginda telah menyangkakan manfaatnya pada masa hadapan. Beberapa bulan sebelum berlaku peperangan, baginda telah menjangkakan konflik akan berlaku lalu baginda menggali parit di sekeliling kota Madinah untuk mempertahankannya. Setelah itu, nabi s.a.w telah memaafkan musuh-musuh baginda dengan keyakinan bahawa tindakannya itu akan mewujudkan pemimpin umat Islam masa hadapan. Oleh itu, dasar Islam adalah berdasarkan cara berfikir dan cara yang berorientasikan masa hadapan.

            Antara langkah–langkah yang dapat disalurkan pada negara Islam agar bebas dari pemikiran penjajah adalah dengan membebaskan diri kita daripada pemikiran sekular agar kita dapat kembali kepada agama yang sempurna, begitu juga akidah yang bebas dari syirik sama ada dalam perkara ibadah, syariah dan akhlak. Selain daripada itu, negara-negara Islam mestilah bekerjasama dengan mengambil sepenuhya faedah dan peluang yang kita dapat untuk kegunaan negara dan juga umat. Negara Islam dikurniakan dengan hasil semulajadinya dari muka bumi yang subur dengan hasil pertanian dan galian yang berharga mampu untuk menampung keperluan semasa. Apa yang penting, kita gunakannya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negara-negara Islam itu sendiri dan memupuk semangat persaudaraan Islam di kalangan mereka dan menjadi kewajipan dakwah manusia itu sendiri mengajak mereka kepada agama Islam dalam semua keadaan dan tempat untuk menegakkan Islam supaya ianya mengatasi agama-agama-lain.

Istilah-istilah Ideologi-ideologi Barat

Antara istilah-istilah yang di perkenalkan oleh barat adalah seperti :
1. Sekularisme – Merujuk kepada peraturan yang terdiri daripada dasar dan perlaksanaan-perlaksanaan yang mengenepikan setiap bentuk keimanan agama.
2. Liberalisme – Merujuk kepada falsafah yang meletakkan kebebasan individu sebagai nilai politik tertinggi. Liberalisme menekankan hak-hak peribadi serta kesamarataan peluang.
3. Sosialisme – Merupakan teori atau sistem organisasi sosial dan ekonomi di mana salah satu ciri utamanya adalah sumber kekayaan negara dinikmati bersama oleh seluruh rakyat secara sama rata.
4. Modenisme – Merujuk kepada kepercayaan yang melebihkan aspek keduniaan berbanding dengan aspek ketuhanan.

Penutup
            Untuk akhirnya, disini dapat disimpulkan bahawa masyarakat barat sememangnya tidak akan berpuas hati serta berdiam diri selagi mana masyarakat Islam tidak jatuh ke tangan mereka. Hal ini tidaklah memfokuskan kepada sesetengah aspek sahaja, bahkan mereka ingin menguasai masyarakat Islam secara menyeluruh sama ada dari aspek pemikiran, sosiopolitik dan ekonomi. Mereka tidak hanya menumpukan sasaran mereka kepada golongan-golongan yang kurang berpengatahuan, akan tetapi menjadikan sebahagian daripada golongan cendikiawan Islam sebagai penyumbang dalam menyampaikan aliran-aliran mereka. Islam mengajar penganutnya supaya mengimbangi kehidupan di dunia dan di akhirat dengan sewajarnya. Di samping menganjurkan umatnya supaya memperbanyakkan amal sebagai bekalan di akhirat, Islam juga tidak melarang umatnya mencari kesejahteraan hidup di dunia. Cuma kaedah-kaedah yang disarankan oleh Islam yang membezakannya daripada sistem-sistem ciptaan manusia yang lain. Sistem Islam itu adalah adil untuk semua sama ada untuk orang Islam ataupun bukan Islam. Oleh itu, untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini ialah dengan merealisasikan kaedah-kaedah tersebut sama ada di peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara.   

Sebagai tambahan: Kesan penjajahan pemikiran

  1. Merosakkan akhlak umat Islam. Menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan perkara yang dihalalkan oleh Allah. Contoh : Bermuamalat dengan riba, zina, meminum arak dan sebagainya. 
  2. Menjauhkan ulamak dari memimpin masyarakat dan teraju politik. Tidak mencebur diri dalam masalah politik dan sosial. Tidak mampu untuk membimbing umat dalam bidang politik. 
  3. Berlakunya krisis identiti di kalangan remaja. Remaja menjadi bingung dan kabur tentang tugas dan peranan. Akibatnya: berlakulah percampuran identiti dimana lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya. 
  4. Umat Islam menjadi kabur dan buta. Untuk membezakan kebaikan dan kemungkaran kerana mengejar kemewahan hidup.


  • Masa depan yang akan dihadapi oleh umat Islam di dunia ini adalah terletak di atas bahu negara-negara Islam itu sendiri.
  • Manusia tidak boleh bergantung kepada akal fikiran semata-mata tanpa panduan daripada wahyu Allah.
  • Masa sekarang sebagai penentu masa hadapan.

Rujukan

  1. Dr. Muhammad Al-Bahi(1986), Penentangan Islam Terhadap Aliran Pemikiran Perosak, Kuala Lumpur : Penerbitan Hizbi.
  2. Haji Abdul Hadi Awang(t.t), Globalisasi – Pendirian Islam Mengenainya, Kuala Terengganu : Unit Penerbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu.
  3. Khairul Azhar Idris(1996), Kontemporari Islam, Kuala Lumpur : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
  4. Lim Kim Hui, Har Wai Mun(2007), Globalisasi, Media dan Budaya-Antara Hegemoni Barat Dengan Kebangkitan Asia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
  5. Mohd Siden Ahmad Ishak(1990), Masa Hadapan Islam-Bentuk Idea yang Akan Datang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
  6. Mohd Yuswandi Abd. Majid, Siti Suhafzan SH Ibrahim(2007), Islam Dalam Era Globalisasi, Kuala Lumpur : Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Note: Artikel ini adalah hasil penulisan (tugasan) saya ketika mengambil kursus Ideologi-ideologi Moden dalam menyempurnakan ijazah pertama saya.