Labels

Monday, May 16, 2011

Bhg 2: Saya Mestilah Muslim Di Sudut Ibadah



Dipetik dari Buku: "Apa Ertinya Saya Menganut Islam"
Oleh: Fathi Yakan


Ibadah di dalam Islam merupakan kemuncak bagi sifat kepatuhan dan kerendahan kepada Allah dan ia juga adalah kemuncak betapa ia merasai keagungan Tuhan yang disembah. Ia menjadi anak tangga pertatehan di antara si hamba dengan Tuhannya. Ibadah ini juga memberi kesan yang mendalam di dalam perhubungan manusia dengan makhluk lainnya. Begitu juga dengan ibadah-ibadah dalam rukun Islam seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji serta amalan-amalan lainnya yang dilaksanakan untuk mendapat keredaan Ilahi dan dalam mengamalkan Syariat-Nya adalah termasuk dalam pengertian 'ibadah. Bertitik tolak dari pengertian inilah Islam menetapkan supaya seluruh hidup manusia dipelihara agar menjadi 'ibadah dan taat kepada Allah s.w.t.
Bagi memastikan saya benar-benar Muslim dalam IBADAT maka saya mestilah:
  1. Memastikan ibadah saya mempunyai hubungan dengan Tuhan yang disembah. Inilah apa yang dikatakan martabat "keihsanan dalam ibadah".
  2. Saya mestilah melakukan 'ibadah dengan penuh khusyuk sehingga saya dapat merasai kelazatan serta kemanisannya malah mendatangkan kekuatan kepada saya untuk berterusan mengerjakannya.
  3. Saya mestilah beribadah dalam keadaan hati saya merasai kehadiran Allah, membuang dan melupakan kesibukan dunia dan hiruk-pikuknya.
  4. Saya mesti beribadat dalam keadaan sentiasa ingin menambahnya, tidak merasa cukup dan tidak kenyang. Saya perlu menghampirkan diri kepada Allah dengan amalan-amalan sunat.
  5. Saya mestilah mengambil berat terhadap ibadat qiamullail (sembahyang malam) serta melatih diri melakukannya sehingga ia menjadi satu kebiasaan. Ini adalah kerana qiamullail itu adalah sumber kekuatan yang memantapkan iman. Di antara amalan-amalan sunat yang dikerjakan antara lain qiamullail,sembahyang dhuha, sembahyang tarawih, puasa pada hari Isnin dan Khamis, puasa pada Hari Arafah, puasa pada Hari Asyura, puasa enam hari dalam bulan Syawal, tiga hari di setiap pertengahan bulan (13,14 dan 15) dan beriktikaf di masjid.
  6. Saya mestilah meluangkan waktu tertentu untuk membaca Al-Quran dengan cara merenungi maksud dan pengajarannya terutama di waktu dhuha.
  7. Saya mestilah menjadikan doa sebagai perantaraan dengan Allah di dalam setiap urusan hidup kerana doa adalah otak bagi segala 'ibadah. Untuk itu saya mestilah memilih doa-doa yang ma'thur dari Rasulullah s.a.w.

No comments:

Post a Comment