Labels

Saturday, January 29, 2011

Hari paling indah ialah hari ketika anda mampu mengawal diri anda


Dipetik dari buku: Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia oleh Dr.’Aidh Abdullah Al-Qarni.
Janganlah menyangka bahawa selepas kebaikan tidak ada lagi keburukan, sebenarnya keburukan itu sentiasa ada.
Seorang lelaki yang benar-benar dapat menikmati hidupnya berkata: “Sebenarnya, hari yang paling indah ialah hari ketika kita mampu menguasai dan mengawal dunia, bukan sebaliknya. Hari yang indah adalah hari ketika kita sanggup mengawal nafsu dan selera kita, dan kita tidak tunduk hingga menjadi rendah dan hina, tidak berdaya.
Hari-hari yang paling indah dan mengesankan dalam hidupku ialah:
· Ketika aku dapat menguasai diriku dan keluar dari keraguan sama ada aku boleh atau tidak. Hari itu benar-benar sangat indah dan mengesankan.
· Ketika aku ragu antara amalan yang mendapat pujian orang dan amalan yang langsung tidak mendapat sebarang pujian, bahkan tidak diketahui oleh orang lain. Lalu, aku lupakan pujian itu dan aku memilih amalan yang tidak diketahui orang lain.
· Ketika aku mempunyai banyak wang, sedang hatiku tidak merasa kedamaian, kemudian aku memilih tidak punya apa-apa daripada hati yang resah berterusan.
· Hari yang paling indah dan mengesankan ialah ketika aku menerima sesuatu yang sedikit tanpa menyedari apa yang telah aku lakukan. Dan jika aku terima banyak, puji dan syukur kepada Allah.
Pedoman hidup: Ridhalah dengan apa yang anda perolehi, terimalah pemberian Allah apa adanya. Lupakanlah angan-angan yang tidak sesuai dengan yang anda usahakan dan di luar kemampuan.
“Allah akan mengampuni apa yang telah berlaku”

Jika anda tahu di mana kebahagiaan itu, anda akan mendapatnya dengan mudah

Dipetik dari buku: Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia oleh Dr.’Aidh Abdullah Al-Qarni.

Aku berbisik di dalam hatiku, jika kegelisahan keluar, maka bergembiralah, kerana ketakutan akan segera menghilang.

Kebahagiaan tidak ditemui di mana-mana kecuali di dalam diri sendiri. Justeru itu, siapa sahaja yang hendak bahagia maka hendaklah ia membawa dirinya ke jalan keutamaan dan kemuliaan. Maka untuk tujuan itu seseorang perlu menjadi berani, mencintai pekerjaan dan sesama manusia. Ia perlu menjalin kerjasama dan hubungan baik dengan mereka, tidak mementingkan diri sendiri dan tidak membiarkan hati nurani lemah dan mati.

Ingatlah bahawa kebahagiaan itu bukanlah kata-kata kosong, ia adalah realiti dan ramai orang yang merasakannya. Kita boleh merasakannya melalui pengalaman kita. Jika kita menghayati kehidupan dunia, maka kita mampu menemukan banyak hal dalam diri kita. Dengan ilmu pengetahuan, kemahuan dan kesabaran, kita boleh selamat dari berbagai penyakit yang menyerang kesihatan fizikal atau kejiwaan kita. Selanjutnya kita menikmati hidup yang dianugerahkan oleh Allah tanpa sebarang pengingkaran, kederhakaan dan gangguan.


“Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan anugerah-NYA kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas.”

Thursday, January 6, 2011

Biar Sedikit Asal Bahagia dari Banyak Tetapi Menderita

Dipetik dari buku: Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia oleh Dr.’Aidh Abdullah Al-Qarni.

Allah memang menghendaki supaya kebaikan disebarluaskan, namun Dia jugalah yang menciptakan cemuhan-cemuhan yang datang menerusi mulut manusia.

Dari seluruh umur anda maka yang dikira adalah umur yang membahagiakan, melapangkan, mententeramkan dan bersedia menerima apa sahaja yang ditentukan buat anda. Namun rakus, tamak dan sikap bongkak sungguh bukanlah kehidupanmu yang asli. Semua itu adalah lawan dari kesihatan dan kecantikan anda. Kerana itu, berusahalah untuk mencapai redha Allah, menerima pembahagian, meyakini ketentuan, dan tidak bimbang menghadapi masa yang akan datang.
Jadilah anda seperti rama-rama, ringan perawakan, indah dipandang, sedikit bergantung pada yang lain, terbang dari satu bunga ke bunga yang lain, dari satu tangkai ke tangkai yang lain dan dari satu taman ke taman yang lain. Pendek kata, hidupnya sentiasa berpusing dari yang baik kepada yang baik.
Kalau tidak, maka jadilah anda seperti seekor lebah yang sentiasa memakan sesuatu yang baik dan mengeluarkan yang baik pula. Jika ia jatuh di atas tangkai, tidak memecahkannya, menyentuh nektar tetapi tidak melukainya, mengeluarkan madu dan tidak menyengat, terbang dengan rasa cinta dan hinggap dengan tali kasih. Ia mempunyai dengungan sukacita dan bisikan kerelaan. Seakan-akan ia utusan kerajaan langit atau duta dari alam yang kekal datang berkunjung.

Pedoman hidup: Allah suka kepada orang-orang yang bertaubat, kerana mereka kembali dan mengadu hanya pada-Nya.
“Segala puji adalah kepunyaan Allah yang telah melenyapkan dukacitaku.”

Pesanan kepada Para Wanita yang Mulia

Dipetik dari buku: Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia oleh Dr.’Aidh Abdullah Al-Qarni.

Seringkali anda berusaha menghindari banyak perkara, padahal di sebaliknya terdapat perkara-perkara yang anda inginkan.

Anda, wahai wanita Muslimah yang jujur dan taat, contohilah pohon kurma yang jarang membusuk dan berpenyakit. Ketika dibaling dengan batu, malah ia menggugurkan buahnya. Pokok kurma sentiasa berbuah tidak mengira musim, di musim panas mahupun di musim sejuk, dan ia mengandungi pelbagai khasiat.

Hiduplah di tempat yang tidak menyentuh hal-hal yang tidak berguna, yang mampu menjaga kehidupan dari hal yang dapat mengaburi rasa malu. Ucapanmu adalah zikir, cara memandangmu adalah mengambil iktibar, dan diammu adalah berfikir. Di mana pun berada, anda sentiasa mendapat kebahagiaan dan kesejahteraan. Sentiasa diterima di mana pun anda berada. Pujian yang baik dan doa yang jujur dari semua makhluk sentiasa mengalir untuk anda. Allah sentiasa menghilangkan mendung kelabu yang menghimpit anda. Melenyapkan rasa takut dan menghilangkan kesedihan.

Rebahkanlah tubuh anda ketika doa orang-orang mukmin ditujukan kepadamu dan bangunlah seiring dengan pujian para malaikat untuk anda. Bagaimanapun, anda mengetahui bahawa kebahagiaan bukanlah terletak pada harta, namun ketika anda mentaati Zat Yang Maha Terpuji. Bukan pula pada pakaian yang baru dan layanan seorang hamba, namun ketika anda mentaati Yang Maha Agung.

Pedoman hidup: “sekali-kali jangan berputus-asa. Mencuba itu memang lambat dan memakan masa. Lebih dari itu, pasti ada penghalang ke arah cita-cita itu. Justeru, jangan sekali-kali mengaku kalah dengannya.”

“Bermohonlah kepada-KU, nescaya Aku akan mengabulkan permohonanmu.”